HomeUtama33 Rumah Mesra SMJ Parlimen Papar siap, sedia diduduki

33 Rumah Mesra SMJ Parlimen Papar siap, sedia diduduki

Read Time:4 Minute, 25 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PAPAR: Sebanyak 33 buah rumah di bawah Program Rumah Mesra SMJ kawasan Parlimen Papar sudah siap sepenuhnya dan bersedia untuk diduduki oleh penerima, kata Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, untuk Parlimen Papar sebanyak 60 senarai nama penerima manfaat Program Rumah Mesra SMJ layak bagi peruntukan tahun 2023.

“Setakat hari ini dalam 60 buah rumah tersebut, 33 telah siap sepenuhnya manakala 24 buah prestasinya melebih 80 peratus siap dan tiga unit masih berada di bawah 50 peratus status kemajuannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas acara penyerahan kunci Rumah Mesra SMJ kepada penerima di Kampung Buang Sayang di sini pada Jumaat.

Armizan (tengah) semasa meninjau Rumah Mesra SMJ di Kg Buang Sayang pada Jumaat.

Beliau turut menjelaskan bahawa ada rumah yang belum siap disebabkan isu koordinasi yang lepas atas perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan seperti senarai penerima yang dimuktamadkan agak lewat dan lebih kurang dalam bulan Julai 2023 baru dimuktamadkan.

“Selain ada juga terdapat isu berbangkit contohnya tanah, ada penerima manfaat bila disemak tidak mempunyai tanah langsung, ada pula mempunyai tanah tetapi kontraktor terpaksa masuk menanggung isu-isu tapak tanah itu masih belum diurus dengan baik, ianya perlu ditimbus dan sebagainya.

“Kita maklum, penerima orang susah, Program Rumah Mesra SMJ ini hanya untuk mendirikan rumah, jadi mereka perlu mengumpul duit dan cari jalan sebagainya untuk membuat penimbusan tapak, bagaimanapun, kita komited dan terus usahakan , inshaAllah tahun untuk peruntukan 2023 itu menjelang hujung Februari ini akan siap semua 60 Rumah Mesra SMJ dalam Parlimen Papar,” katanya.

Untuk penambahbaikan pada tahun ini pelaksanaan Program Rumah Mesra SMJ, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengadakan perbincangan beberapa strategi berkesan dengan Pegawai Daerah Papar dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan Parlimen Papar supaya program tersebut berjalan dengan lebih baik dan lancar.

“Untuk penambahbaikan pada tahun ini, saya telah berbincang dngan Pegawai Daerah Papar dan PPM, inshaAllah, kita yakin kita dapat bergerak dengan lebih baik terutamanya dari segi senarai telahpun dimuktamadkan kalau ikut satu tahun 60 buah Rumah Mesra SMJ, jadi 60 untuk peruntukan 2024 senarai nama penerima telahpun dihantar ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB).

“Kita menghantar senarai yang lebih lagi sebab kita meraih supaya kalau boleh dipertimbangkan peruntukan yang 2022 yang masuk hujung tahun pemberian khas baru diluluskan persekutuan pada masa itu boleh digunakan jadi kita sengaja hantar lebih, fokusnya adalah 60 jadi kita mengharapkan kepada KPLB dan saya juga merayu kepada YAB Ketua Menteri supaya kita boleh dapat lebih pada tahun 2024 walaupun ianya hanyalah untuk 60 buah setahun,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut mencadangkan dua perkara kepada kerajaan, pertama, mengenai isu tanah, dan kedua, kerajaan mempertimbangkan supaya ditambah sedikit peruntukan dalam RM1200 dimasukkan sekali dalam skop kerja pembinaan Rumah Mesra SMJ untuk kemudahan deposit air selain elektrik.

“Pada masa yang sama saya juga mencadangkan kepada kerajaan negeri dua perkara, pertama berkenaan dengan isu tanah, saya suka mencadangkan sebenarnya kita telah bincang di peringkat Papar ini dengan pegawai daerah melalui land administration certificate (LAC) juga kita sedang mencari tanah-tanah di Papar yang boleh kita masukkan juga sebagai rizab kampung.

“Selain kegunaan orang-orang kampung di kawasan sekitar, kita rizab sedikit untuk orang-orang Papar yang memang tidak ada langsung tanah untuk golongan miskin di bawah senarai eKasih yang boleh kita usahakan mendapatkan Rumah Mesra SMJ di tanah tersebut,” katanya.

Beliau turut membincangkan mengenai Program Perumahan Rakyat (PPR) dilaksanakan di Parlimen Papar.

“Pada masa sama di Papar juga kita telah bincangkan untuk mencari tanah juga bukan sahaja untuk Rumah Mesra SMJ tetapi juga yang boleh kita mohon untuk rumah PPR, itu juga penting maksudnya rumah bertingkat dengan harga yang munasabah mampu milik sebab ada juga kes-kes tertentu untuk kita melihat ke hadapan.

“Sekarang ini, syukur alhamdulillah, penerima-penerima sekarang ini masih ada tanah untuk kita bantu mendirikan Rumah Mesra SMJ masih ada tanah dan kita bayangkan 5-10 tahun akan datang jika sudah tiada tanah sekurang-kurangnya kita ada tapak untuk rumah PPR, bila kerajaan ada peruntukan, tanah sudah sedia.

“Kita tahu banyak pihak yang bawa cadangan untuk pembangunan di Papar dan kita tekankan perlu ada rizab juga untuk rumah PPR keutamaannya adalah untuk masyarakat Papar juga yang kurang berkemampuan,” katanya.

Mengenai perkara kedua, Armizan berkata walaupun Rumah Mesra SMJ lagi tinggi peruntukannya daripada rumah PPRT persekutuan iaitu Program Rumah Mesra SMJ kalau tidak bertiang RM80,000 manakala bertiang RM85,000

“Tetapi dalam skop pembinaan itu selain bina rumah, ia termasuk untuk deposit elektrik tetapi tidak termasuk deposit air jadi kita maklum penerima ini memang orang susah, deposit air pun paling kurang minimum RM1200.

“Ada rumah yang telah siap tetapi mereka belum boleh masuk kerana mereka kurang mampu untuk deposit air, jadi kita cadangkan kepada kerajaan negeri kalau perlu ditambah sedikit peruntukan dalam RM1200 dimasukkan sekali dalam skop kerja tersebut, selain deposit elektrik itu masuk diharap akan dimasukkan juga deposit air,” tambah beliau.

Terdahulu, Armizan bersama Pegawai Daerah dan PPM meninjau status kemajuan pelaksanaan Program Rumah Mesra SMJ di kawasan Pantai Manis, Limbahau dan Kawang.

Penerima Rumah Mesra SMJ, Raymund Ohchoi di Kg Biau.

Beliau turut menyempurnakan acara simbolik penyerahan kunci Rumah Mesra SMJ yang telah siap kepada tiga penerima masing-masing di Kg Buang Sayang, Kg Biau dan Kg Seri Menanti.

Para penerima turut meluahkan rasa gembira dan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin terhadap keperluan mereka yang memerlukan.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular