HomeEkonomiSKM cipta sejarah daftar 1001 koperasi baharu tahun lalu

SKM cipta sejarah daftar 1001 koperasi baharu tahun lalu

Read Time:1 Minute, 30 Second

Sipitang: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mencipta sejarah apabila berjaya mendaftarkan 1,001 koperasi baharu di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Menterinya Datuk Ewon Benedick menyifatkan kejayaan tersebut menunjukkan kesedaran tinggi dan minat besar rakyat negara ini dalam gerakan koperasi.

“Pada tahun lepas, buat pertama kali dalam sejarah, kita telah mencipta rekod dengan mendaftarkan 1,001 koperasi baharu berbanding purata pendaftaran pada tahun-tahun sebelumnya sekitar 600 hingga 700 koperasi baharu setahun.

“KUSKOP melalui SKM dan Instutut Koperasi Malaysia (IKMa) telah menganjurkan jelajah program memasyarakatkan koperasi sepanjang tahun lepas dan saya percaya ini telah menyumbang kepada kesedaran berkoperasi di kalangan rakyat.

“Saya menyatakan harapan besar agar koperasi-koperasi baharu ini dapat menjalankan perniagaan mereka dengan jayanya mengikut tata kelola perniagaan koperasi yang baik, menjaga kebajikan ahli-ahli dan menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Ewon berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Membudayakan Masyarakat Koperasi Peringkat Daerah Sipitang di sini, hari ini.

Mengikut data interim koperasi di Sabah sehingga 30 Jun 2023, jumlah koperasi berdaftar adalah sebanyak 1,765 buah, dengan kekuatan anggota seramai 361,126 orang. Manakala syer dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM244 juta, aset terkumpul bernilai RM868 juta. Manakala pencapaian jumlah perolehan adalah sebanyak RM329juta.

Ewon turut menyatakan bahawa kriteria permohonan pendaftaran koperasi juga telah dipermudahkan terutamanya bilangan minimum anggota iaitu sebanyak lima orang.

“Kita telah menambahbaik proses pendaftaran koperasi. Hari ini lima orang yang mempunyai kemahiran yang sama, contohnya lima orang petani di sesebuah kampung sudah boleh menubuhkan koperasi mereka atau lima orang profesional di bandar sudah boleh menubuhkan koperasi,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yaacob, Ketua Pegawai Eksekutif SKM Haji Rusli Jaafar dan Presiden Koperasi Pusat Komuniti Lundayeh Sabah Berhad Datuk Pangiran Lalung.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Large Scale Solar Menawarkan ‘Value for Money’ untuk Bekalan Elektrik Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular