HomeUtamaKabel 'hidup' sengaja dipasang bersama sambungan paip haram

Kabel ‘hidup’ sengaja dipasang bersama sambungan paip haram

Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu : Kabel ‘hidup’ yang dipercayai sengaja dipasang bersama sambungan paip haram menjadi antara ancaman keselamatan yang dihadapi penguatkuasa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Tindakan itu menyebabkan penguatkuasa JANS berisiko terkena renjatan elektrik ketika melaksanakan operasi pemotongan sambungan paip haram khususnya di kawasan setinggan.

Perkara itu dinyatakan sendiri Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Katanya, ada penguatkuasa JANS pernah terkena renjatan elektrik daripada kabel ‘hidup’ yang dipercayai sengaja dipasang bersama sambungan paip haram.

Atas faktor itu katanya, pelaksanaan operasi pemotongan sambungan paip haram bagi menghentikan kecurian air di kawasan setinggan di negeri ini terpaksa dilakukan secara berhati-hati dengan memotong punca sambungannya di paip utama milik JANS.

Menurutnya, cadangan orang ramai untuk mengesan pelaku penyambungan paip haram dengan menyusuri batang ‘polypipe’ hingga ke rumah setinggan amat berisiko disebabkan faktor keselamatan itu.

“Ada yang kata kenapa kita tidak ikut saja paip haram itu hingga ke rumah pelakunya. Namun, risikonya tinggi kerana pernah penguatkuasa JANS terkena renjatan elektrik ketika menarik batang paip haram itu.

“Jadi kita terpaksa potong saja sambungan haram itu dan buat pemantauan berkala supaya ia tidak dipasang semula,” katanya ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke premis perniagaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pekan Tanjung Aru dan Pekan Sembulan, di sini, hari ini.

Shahelmey berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai operasi pemotongan penyambungan paip haram yang dilaksanakan JANS di beberapa kawasan setinggan di Sepanggar, dekat sini, baru-baru ini.

Operasi itu antara langkah bagi mengurangkan gangguan bekalan air yang dialami pengguna di sekitar Sepanggar atau utara Kota Kinabalu, termasuk di Universiti Malaysia Sabah (UMS) ketika ini.

Dalam pada itu, Shahelmey berkata, penguatkuasa JANS baru-baru ini telah melaksanakan operasi pemotongan paip haram di kawasan setinggan berhampiran Jalan Sulaman, di sini, dan berhampiran kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kuala Manggatal.

“Operasi ini dilaksanakan bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) yang dibuat berterusan secara berkala. Kita juga memohon orang ramai yang nampak ada kegiatan penyambungan paip haram supaya melaporkan kepada pihak JANS untuk diambil tindakan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JABATAN AIR SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

MUIS serah sumbangan kepada 16 KIR terjejas kebakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular