Kota Kinabalu : Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM16.89 juta bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan bagi membangun serta memperkasa belia di Sabah tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tahun lalu sahaja kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.48 juta kepada Persatuan Belia di Sabah yang disalurkan melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS).
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.2 juta dikhususkan kepada Majlis Belia Sabah (MBS) untuk melaksanakan program pembangunan belia.
“Pada tahun ini Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM100.17 juta untuk perbelanjaan mengurus serta pembangunan belia dan kemajuan sukan di Sabah.
“Kerajaan Negeri juga komited terhadap pembangunan belia di negeri ini kerana mahu melahirkan generasi belia yang mempunyai kualiti ilmu, kemahiran dan kepemimpinan bagi mencapai kesejahteraan sosio-ekonomi.
“Pembangunan modal insan termasuk belia adalah pemacu signifikan pertumbuhan ekonomi negeri. Pentingnya ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menyokong peralihan sektor ekonomi ke aktiviti berasaskan pengetahuan, teknologi dan inovasi”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Kali Ke-26 dan Malam Apresiasi MBS di Pacific Sutera Harbour Resort di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmy Yahya.
Hajiji berkata, belia perlu dipersiapkan dengan ilmu, kepimpinan dan kemahiran agar mereka mampu memimpin dan membawa masyarakat kepada kebenaran dan keadilan.
Justeru katanya, amat penting kekuatan setiap agensi yang terbabit dalam pembangunan belia diselaraskan dan dilaksanakan mengikuti keperluan setempat bagi menyantuni para belia mengikut kesesuaian potensi dan kemahiran mereka.
“Saya berharap organisasi belia di negeri ini dapat terus diperkasakan agar lebih ramai yang mendapat manfaat daripada organisasi belia. Penekanan terhadap integriti perlu dipertingkatkan agar sesebuah organisasi dapat berjalan dengan lancar dan mencapai objektifnya,” katanya.
Beliau percaya apabila golongan belia mampu menguruskan sistem dengan baik, maka sesebuah organisasi itu mampu untuk mendepani masa depan dengan baik. Banyak cabaran di hadapan yang memerlukan belia yang dilengkapi dengan pelbagai ilmu dan kemahiran untuk menangani isu-isu sebenar dunia.
“Dalam hal ini, belia perlu mengambil manfaat untuk berkolaborasi dengan sebanyak mungkin organisasi bagi mencari solusi dan penyelesaian untuk masyarakat sejagat”, katanya.
Hajiji juga mahu MBS selaku rakan strategik KBSS dan Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah bersama-sama memainkan peranan penting dalam menggembleng potensi belia Sabah sama ada di bandar atau luar bandar. – SABAH MEDIA