HomeUtamaMAKNA laksana 10,000 saringan secara percuma di Sabah sejak 2022

MAKNA laksana 10,000 saringan secara percuma di Sabah sejak 2022

Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu: Majlis Kanser Nasional (MAKNA)  melalui Unit Saringan Bergerak telah menjalankan sebanyak 10,000 saringan secara percuma di negeri ini sejak Julai 2022.

Pengurus Besar MAKNA Farahida Mohd Farid berkata, unit Mamogram bergerak ini menyediakan bantuan kepada komuniti terpencil yang jauh dari kemudahan perubatan untuk mendapatkan saringan kanser percuma termasuk pemeriksaan melalui Mamogram, Ultrasound dan kit ujian iFOBT. 

“Sejak dilancarkan penggunaan unit ini pada Julai 2022 sebanyak 24 lokasi di Sabah telah dilawati. Daripada jumlah tersebut, sehingga 2023 sebanyak 6,024 kes telah mendapat bantuan melalui Program Bursari MAKNA.

“Program Bursari ini menyediakan bantuan pengangkutan hospital kepada golongan B40 meliputi peralatan perubatan, ubat-ubatan bukan formulasi dan barang-barang keperluan penting kepada pesakit kanser yang kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika ditemui pada Program MAKNA Founder’s Fun Run 2024 sempena sambutan Hari Kanser Sedunia dan Hari Ulang Tahun MAKNA ke-30 di Perdana Park, di sini semalam.

Farahida berkata, selain daripada itu MAKNA juga menyediakan Rumah Perantara di Hospital Likas kepada pesakit kanser yang datang dari luar bandar untuk menginap di rumah tersebut secara percuma sementara mendapatkan rawatan kemoterapi.

“Semua perkhidmatan yang disediakan ini adalah pendekatan MAKNA sebagai usaha bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan agar mereka mampu meneruskan rawatan yang diperlukan.

“Bantuan ini diberikan kepada pesakit yang berkelayakan menerusi penilaian pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Mengulas mengenai program tersebut kata Farahida, program itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada awam tentang kepentingan melawan penyakit kanser selain menekankan kepentingan hak sama rata terhadap penjagaan kanser, rawatan dan sokongan untuk semua individu yang terkesan dengan penyakit tersebut.

Seramai 600 peserta menyertai larian sejauh lima kilometer yang turut meliputi pelbagai aktiviti termasuklah pameran kesihatan kanser, lukisan mural, aktiviti memanah, zumba dan cabutan tiket bertuah.

Tambahnya, kejayaan MAKNA Founder’s Fun Run 2024 ini adalah hasil sokongan pelbagai pihak termasuklah para penaja, sukarelawan, pemandiri kanser dan orang awam yang membolehkan pihaknya meneruskan usaha demi mendorong matlamat negara bagi menuju masa depan bebas kanser.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular