Kota Kinabalu: Pihak pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa terbuka dengan apa jua pandangan mahupun cadangan daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mahupun Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Kolej Kediaman (JAKMAS) UMS khususnya dalam hal-hal berkaitan pelajar.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, ini kerana MPP dan JAKMAS merupakan entiti penting yang menggerakkan agenda kebajikan pelajar di dalam universiti.
“MPP dan JAKMAS juga merupakan wadah untuk para pelajar memperkasa kepimpinan melalui interaksi bersama pelbagai pihak serta penganjuran program kemahasiswaan, sekali gus menjadi peluang untuk siswa-siswi yang lain terlibat secara aktif dan menyumbang kepada universiti meskipun tidak berada dalam kerusi kepimpinan.
“Oleh itu, apabila para kepimpinan pelajar mula melangkah ke arena ini, ia tidak semata-mata berkisarkan tentang keistimewaan, akan tetapi terkait kepada amanah dan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Watikah Pelantikan MPP dan JAKMAS Sesi 2023/2024 di Galeri Majlis, UMS baru-baru ini.
Kasim turut mengingatkan para pemimpin pelajar agar memastikan setiap lontaran idea disalurkan dengan penuh hikmah.
“Pemimpin pelajar harus sentiasa bersifat profesional, matang dan konstruktif dalam menzahirkan pandangan terhadap sesuatu isu, dengan harapan bahawa ia akan memberi manfaat kepada pelajar secara keseluruhannya.
“Setiap perkara yang diketengahkan mestilah membawa gagasan idea yang bernas dan realistik melalui pengamatan serta analisis yang bersifat dinamik.
“Perkara yang paling utama adalah setiap tindakan yang dilakukan haruslah menzahirkan intelektual sesuai dengan gelaran anda sebagai mahasiswa mahupun pemimpin pelajar,” katanya.
Ujar beliau, semua pihak harus bersama-sama menjaga nama baik serta imej universiti agar keharmonian dan kesejahteraan kampus sentiasa terjaga sekali gus memberikan persekitaran yang kondusif untuk tujuan pembelajaran.
Pada majlis tersebut, Kasim menyaksikan lafaz ikrar dan aku janji dari kepimpinan pelajar yang diketuai Presiden MPP, Roslan Abdullah, serta menyampaikan watikah pelantikan kepada ahli jawatankuasa MPP dan JAKMAS Kolej-kolej Kediaman UMS. – SABAH MEDIA / FOTO UMS