HomeUtama30 kes demam campak dilaporkan di Penampang pada ME5 tahun ini

30 kes demam campak dilaporkan di Penampang pada ME5 tahun ini

Read Time:2 Minute, 18 Second

Kota Kinabalu : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merekodkan sebanyak 30 kes measles atau demam campak yang dilaporkan di daerah Penampang sehingga Minggu Epidemiologi ke-5 tahun 2024 (ME ke-5/2024).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Asits Sanna berkata, jumlah itu merupakan peningkatan kes lebih daripada 100 peratus berbanding dengan tempoh ME yang sama pada tahun lalu di mana tidak ada kes measles dilaporkan.

Katanya, data demografi kes tahun ini menunjukkan bahawa 87 peratus kes merupakan individu warganegara, dengan julat umur kes tertinggi adalah yang berumur 18 tahun dan ke atas iaitu sebanyak 67 peratus. 

“Sebanyak 17 peratus kes dilaporkan pernah menerima sekurang-kurangnya satu dos imunisasi terhadap measles, 27 peratus tidak pernah menerima imunisasi measles, 53 peratus pula tidak diketahui status imunisasi measles mereka manakala tiga peratus belum layak menerima vaksin

“JKNS melalui Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang (PKK Penampang) telah menjalankan pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan bagi menangani penularan jangkitan measles dalam kalangan masyarakat di daerah Penampang. 

“Antara kawalan utama yang telah dilaksanakan adalah siasatan epidemiologi yang menyeluruh, siasatan makmal, siasatan persekitaran, aktiviti promosi kesihatan dan Supplementary Immunization Activity (SIA) atau Aktiviti Imunisasi Tambahan vaksin measles dalam lingkungan satu kilometer radius lokaliti kes measles,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dr Asits berkata, aktiviti SIA ini dilaksanakan di lokaliti-lokaliti yang telah melaporkan kes measles, lokaliti dengan liputan imunisasi yang rendah serta kawasan yang berisiko tinggi untuk berlakunya wabak measles.

Katanya, tahun ini sehingga ME ke-5/2024, SIA bersasar telah dijalankan di 16 buah lokaliti kes. 

“Seramai 366 kanak-kanak telah diberi vaksinasi di mana 231 (63 peratus) kanak- kanak merupakan warganegara manakala 135 (37 peratus) merupakan bukan warganegara. 

“Aktiviti SIA terkini adalah pemberian vaksinasi bersasar yang dilaksanakan pada 5 hingga 6 Februari 2024 di Putri Bahang Apartment, Penampang di mana seramai 47 kanak-kanak telah diberi vaksinasi measles.

“Antara jenis vaksin yang boleh digunakan semasa SIA di daerah ini adalah vaksin Measles Monovalent, vaksin Measles Rubella (MR) atau Vaksin Measles Mumps Rubella (MMR). 

“Pemberian vaksin measles adalah kepada kanak-kanak dan individu yang berumur di antara enam bulan sehingga 15 tahun. Walaubagaimanapun, kumpulan umur tersebut boleh diperluaskan berdasarkan kepada penilaian risiko yang dijalankan di dalam lokaliti tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Asits berkata, pencapaian imunisasi measles sehingga 31 Januari lalu di daerah Penampang adalah pada kadar 95 peratus iaitu mencapai sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Walau bagaimanapun katanya, masih terdapat kesukaran di dalam mengenalpasti status vaksinasi sebahagian penduduk terutamanya warga asing kerana sering berpindah randah.

“Justeru, JKNS melalui PKK Penampang akan terus mempertingkatkan aktiviti promosi kesihatan kepada masyarakat berkaitan dengan kepentingan imunisasi kepada kanak-kanak. 

“Komuniti yang terlibat dimohon untuk terus memberikan kerjasama sepenuhnya semasa aktiviti kawalan termasuk aktiviti SIA dijalankan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JKNS

RELATED ARTICLES
Utama

UWSS Kasigui dijangka bantu tingkat pengeluaran bekalan air di Putatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular