Kota Kinabalu : Lebih 5,000 pengunjung sekitar bandaraya Kota Kinabalu telah hadir memeriahkan Pasar Malam Terbuka Tahun Baru Cina Segama 2024 di sini semalam.
Program yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah itu telah disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK Robert Lipon yang mewakili Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Pada program itu, sebanyak 600 gerai menawarkan pelbagai hidangan selain turut menampilkan persembahan dan aktiviti yang memukau seperti Tarian Singa dan Naga oleh Kumpulan Tarian Singa Nan Bang, persembahan kebudayaan dan tarian moden oleh Lembaga Kebudayaan Sabah dan Baila Dance Fitness, persembahan nyanyian oleh Yico Wong, Jackie Jeffrey dan Tripuaka Busker serta cabutan bertuah dan hadiah.
Christina ketika berucap merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan penganjuran Pasar Malam Terbuka Tahun Baru Cina 2024.
“Setinggi-tinggi penghargaan kami tujukan kepada DBKK sebagai penganjur, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Lembaga Pelancongan Sabah dan Rock Maestro Sdn Bhd atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.
“Bersama-sama, kita meraikan perpaduan, kepelbagaian dan kerjasama dalam kejayaan acara ini,” katanya.
Turut diadakan pelancaran inisiatif Discover Sabah Digital 2024 yang bertujuan untuk memartabatkan Pelancongan Sabah melalui pendekatan digital, berikutan kejayaan Dec-Cover Sabah 2023.
Selain itu, penyampaian sijil berikutan kejayaan dalam menyelesaikan misi Sabah Foodie Tour Dec-Cover Sabah 2023 oleh Biao Ge Leo, meliputi 22 Destinasi Pelancongan Makanan Sabah dalam tempoh 39 hari, telah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar semalam.
Selain itu, tayangan sorotan perjalanan Sabah Foodie Tour akan diterbitkan di halaman Facebook dan TIktok Biao Ge Leo untuk mempamerkan kekayaan kepelbagaian budaya Sabah, makanan tempatan pilihan dan banyak lagi, menawarkan pelbagai destinasi menarik untuk diterokai pengunjung di Sabah. – SABAH MEDIA