HomeUtamaPrestasi SRU Sabah tahun lalu meningkat 0.94 peratus

Prestasi SRU Sabah tahun lalu meningkat 0.94 peratus

Read Time:1 Minute, 31 Second

Kota Kinabalu : Prestasi keputusan Peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) negeri Sabah tahun lalu mencatat peningkatan sebanyak 0.94 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perbandingan bagi Peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) tahun lalu tidak dilaksanakan kerana ia menggunapakai kurikulum baharu.

“Peningkatan positif ini menunjukkan pentadbir sekolah, guru dan pelajar komited dalam mencapai kecemerlangan demi memastikan kualiti pendidikan dapat diperkasakan terutama melibatkan Pendidikan agama.

“Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sentiasa komited dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan pelajar di semua Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN)

“Selain itu, kita juga akan terus berusaha menyediakan kemudahan pembelajaran, infrastruktur, prasarana serta latihan keguruan kepada semua guru bagi membina kecekapan dan memastikan keberkesanan (effectiveness) proses Pengajaran dan Pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman keputusan peperiksaan SRU dan SMU tahun 2023/2024 di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah JHEAINS, Jumain Abdul Ghani, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Islam JHEAINS, Ag Juri Ag Tahir dan Timbalan Pengarah Pendidikan JHEAINS, Abd Rahman Talipudin.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah berkata, seramai 5,250 calon menduduki peperiksaan SRU melibatkan 129 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

“Daripada jumlah keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan tersebut, seramai 3,891 pelajar telah lulus dengan mumtaz 50 orang, jayyid jiddan 354 orang, jayyid 1,927 orang dan maqbul 1,560 orang.

“Manakala bagi SMU, seramai 368 calon telah lulus dengan mumtaz 29 orang, jayyid jiddan 116 orang, jayyid 135 orang dan maqbul 88 orang menjadikan statistik kelulusan sebanyak 92.9 peratus,” katanya.

Sebanyak 112 Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan lapan buah Sekolah Agama Negeri (SAN) mencapai keputusan lulus 100 peratus antaranya SAN Integrasi Putatan (SANIP), SAN Kg. Tebobon Menggatal, SAN Pekan Kota Belud, SAN Pekan Tenom dan SAN Takuli Beaufort. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular