Kota Kinabalu: Sebanyak lebih RM67 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di negeri ini untuk membantu golongan murid sekolah rendah dan menengah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, setiap murid akan menerima RM150 merangkumi sekolah rendah dan menengah iaitu murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5.
“Saya yakin bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi awal persekolahan dan semoga mereka dapat mengikuti pelajaran dengan baik.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana memberikan sumbangan untuk anak-anak Sabah dengan lebih RM67 juta BAP yang diperuntukkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Negeri Sabah bagi Tahun 2024 di Dewan Sekolah Kebangsaan Malawa di sini baru-baru ini.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah berkata, proses saluran bantuan yang diagihkan kepada murid juga teratur dan berkesan yang dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan dibantu oleh Pengetua serta Guru Besar.
Dalam pada itu, Arifin turut menyatakan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) juga menyediakan pinjaman dan biasiswa kepada para pelajar yang melanjutkan pengajian dalam dan luar negara dan keutamaan akan diberikan kepada anak-anak yang cemerlang tanpa mengira kaum.
“Kerajaan negeri telah memperuntukkan kewangan yang besar bagi pembangunan modal insan berteraskan pendidikan STEM, pengendalian kursus dan latihan kemahiran dalam bidang teknologi, teknikal, perdagangan dan TVET,” katanya
Pada majlis itu, sebanyak 24 Pejabat Pendidikan Daerah menerima cek curah BAP dalam majlis tersebut dan peruntukan lebih RM67 juta tersebut melibatkan 1,298 buah sekolah rendah dan menengah di Sabah.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin Beting.