Pelajar aliran sains dipelawa sambung pengajian dalam  bidang sains makanan dan pemakanan di UMS

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

Kota Kinabalu : Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempelawa para pelajar aliran sains untuk menyambung pengajian dalam bidang sains makanan dan pemakanan di universiti itu. 

FSMP menawarkan empat program ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam bidang pengkhususan Perkhidmatan Makanan (UH6541001), Sains Makanan dan Pemakanan (UH6541002), Pemakanan (UH6541003) dan Teknologi Makanan (UH6541004).

Dekan FSMP Profesor Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat berkata, empat program tersebut telah mendapat akreditasi daripada pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan dua daripadanya turut mendapat pengiktirafan daripada agensi lain. 

“Program Pemakanan (UH6541003) turut mendapat pengiktirafan oleh Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MPKBM), manakala Program Sains Makanan dan Pemakanan (UH6541002) pula telah mendapat pengiktirafan antarabangsa oleh Internatonal Food Technologist (IFT) pada Disember 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan program promosi akademik di Kolej Matrikulasi Labuan (KML), baru-baru ini. 

Hasmadi berkata program yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan program-program prasiswazah yang ditawarkan oleh FSMP UMS. 

Sementara itu, Pengarah KML, Mohd. Mahyuddin Mohd. Noordin berkata penganjuran program seumpama itu memberi manfaat besar kepada pelajar KML untuk mendapat pendedahan dalam program akademik dan kerjaya berkaitan sains makanan dan pemakanan.

“Program promosi ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan motivasi para pelajar untuk membuat persiapan awal ke peringkat universiti. 

“Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang. Pihak KML berbesar hati dan mengalu-alukan peluang kolaborasi lain bersama FSMP kelak,” katanya. 

Seramai 1,260 pelajar yang hadir pada program tersebut berpeluang mendapatkan maklumat lanjut mengenai program-program akademik, peluang pekerjaan, tawaran biasiswa serta aktiviti-aktiviti pelajar FSMP UMS melalui taklimat yang disampaikan oleh ketua program masing-masing.  

Turut hadir, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FSMP, Profesor Madya Dr. Wolyna Pindi serta Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar KML, Syahmun Yahya. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *