HomeUtamaBekalan minyak masak di Sandakan mencukupi

Bekalan minyak masak di Sandakan mencukupi

Read Time:1 Minute, 7 Second

Sandakan : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan mengesahkan tidak ada berlaku isu kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di daerah itu.

Ketua Cawangan KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, ini kerana daerah itu mempunyai sebanyak 21 buah kilang membungkus semula minyak masak bersubsidi dengan jumlah keseluruhan kouta sebulan sebanyak 3,232 metrik tan.

“Ini bermakna jumlah kouta minyak masak paket bersubsidi di daerah ini sahaja adalah sebanyak 3,232,000 kilogram.

“Kilang pembungkusan semula perlu menghabiskan kouta yang diberikan setiap bulan untuk tuntutan.

“Kouta baru pada bulan seterusnya akan bermula pada setiap 1 hari bulan dan pemilik kilang akan mengambil masa dua hingga tiga hari untuk mengambil minyak daripada kilang penapis sebelum dibungkus semula di kilang masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Azdy berkata, pengedaran minyak masak kepada pelanggan juga memerlukan masa selepas minyak masak siap dibungkus.

Justeru katanya, pada masa ini tidak berlaku sebarang isu kekurangan minyak paket di daerah ini.

“KPDN khususnya di daerah ini ingin menasihatkan para pengguna agar tidak membuat pembelian panik ke atas minyak masak paket.

“Pengguna boleh menghubungi pejabat KPDN Sandakan di talian 089-668107 sekiranya sukar mendapatkan bekalan barangan perlu termasuk minyak masak paket,” katanya.

Menurutnya lagi, KPDN Sandakan akan sentiasa turun padang untuk membuat pemantauan bagi memastikan bekalan terutama barangan perlu adalah mencukupi di pasaran. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN SANDAKAN

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular