HomeUtamaPenetapan harga lantai belian padi beri manfaat 17,298 pesawah di Sabah

Penetapan harga lantai belian padi beri manfaat 17,298 pesawah di Sabah

Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu  : Seramai 17,298 pesawah padi (bukan padi huma) di Sabah akan menerima manfaat peningkatan pendapatan menerusi penetapan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan metrik yang berkuat kuasa bermula hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, penetapan itu adalah selaras dengan harga yang sama bagi pesawah di Semenanjung iaitu daripada RM900 kepada RM1,300 selain turut berkuat kuasa di negeri Sarawak.

“Berkuatkuasa hari ini, harga lantai belian padi (beras putih sahaja) di Sabah dan Sarawak ditetapkan kepada RM1,300 per tan metrik selaras dengan harga yang sama bagi pesawah di Semenanjung.

“Berdasarkan data Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), dianggarkan seramai 17,298 pesawah padi (bukan padi huma) akan menerima manfaat peningkatan pendapatan seiring dengan harga lantai belian padi baharu.

“Saya berharap dengan penyelarasan harga lantai baharu ini akan membantu menambah pendapatan pesawah sekali gus menggalakkan mereka untuk meningkatkan pengeluaran padi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baru 2024 bersama Agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Sabah di sini hari ini.

Arthur berkata, berdasarkan unjuran Bahagian Pembangunan Industri Padi, KPKM, penetapan harga lantai belian padi baharu akan meningkatkan pendapatan kasar pesawah di Sabah kepada 50 peratus setahun daripada RM6,681 setahun/hektar kepada RM10,375 setahun/hektar.

Katanya yang menyifatkan langkah penyeragaman harga minimum terjamin di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung mampu menyokong industri padi dan beras di kedua-dua negeri itu.

Menurutnya lagi, pihaknya turut berharap agar kedua-dua negeri itu mampu terus kekal mampan dan berdaya saing selaras dengan hasrat KPKM untuk meningkatkan pengeluaran beras negara.

Tambahnya lagi, penetapan harga lantai belian padi hanya melibatkan beras putih sahaja dan tidak termasuk beras istimewa atau tradisional yang dikeluarkan di Sabah dan Sarawak.

“Selain harga lantai belian padi, Kerajaan juga menyediakan beberapa insentif input bagi membantu mengurangkan kos pengeluaran padi yang ditanggung oleh para pesawah.

“Antaranya adalah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB) dan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP),” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular