Kota Kinabalu : Penjara Lahad Datu yang berkapasiti seramai 1,500 orang akan dirasmikan Yang di-Pertuan Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, September ini.
Pengarah Penjara Negeri Sabah, Timbalan Komisioner Penjara, Nora Musa berkata, penjara itu juga mempunyai seramai 420 kakitangan.
“Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri pada September nanti,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.
Nora berkata, kunjungan itu bertujuan bagi memperkenalkan pengurusan penjara di seluruh Sabah, selain membuat jemputan kepada Tun Juhar bagi menyempurnakan acara perasmian penjara berkenaan.
Katanya, pihaknya juga telah merancang beberapa program sempena bulan Ramadan seperti Ihya Ramadhan, tadarus, qiamullail, solat terawih berjemaah, kelas pendidikan sejarah nabi dan majlis berbuka puasa penghuni bersama pihak pengurusan.
Penjara Lahad Datu merupakan yang keempat di negeri ini selepas Penjara Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu bagi mengatasi masalah kesesakan banduan.