Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Perpaduan dan keharmonian hidup yang diamalkan oleh masyarakat di Sabah boleh dijadikan model ke seluruh dunia, kata Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Prof Datuk ChM.Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin.
Katanya, walaupun masyarakat di Sabah berbilang kaum, berbeza agama dan budaya tetapi mereka saling bersama bersatu padu dalam keadaan yang harmoni.
“Saya suka di Sabah kerana amalan masyarakatnya adalah berbeza dari di Semenanjung khususnya, kerana di Sabah kita boleh duduk, makan, berbual dalam satu meja, tidak ada gap atau jurang dan model inilah kita akan bawa ke tempat lain di seluruh dunia.
“Kita ambil model Sabah ini kerana masyarakatnya saling bersama hidup aman damai dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MACMA cawangan Sabah di sini pada Jumaat malam.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.
Pengerusi MACMA Sabah, Ritchie Jay Cheng dan lebih 1,000 ahli MACMA Sabah turut hadir memeriahkan majlis.
Mengulas lanjut mengenai majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan, Dr Taufiq berkata aktiviti tahunan itu adalah untuk merapatkan lagi hubungan dari segi berbilang kaum, agama dan kepercayaan.
“Kita melihat bahawa perayaan ini merupakan satu perayaan yang bersifat budaya dan bukan dari segi agama sebab itulah kita menggalakkan semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa, agama dan budaya untuk sama-sama merayakan Tahun Baharu Cina.
“Dengan fokus bahawa untuk membina dalam satu masyarakat yang harmoni yang mana inilah menjadi prinsip utama dalam Malaysia Madani di mana kita saling hormat menghormati dan juga saling percaya mempercayai di antara satu sama lain.
“Akhirnya ini akan membina satu masyarakat Malaysia yang dapat menerima perbezaan dengan baik yang mana kita tidak mahu fokus kepada perbezaan ini tetapi kita lihat kepada persamaan.
“Kita semua adalah manusia jadi kita lihat persamaan itu dan itulah yang membentuk keluarga ataupun satu masyarakat yang harmoni,” katanya.
Tambah beliau, seluruh Malaysia terdapat lebih 5,000 ahli MACMA dan bilangan keahlian MACMA di Sabah adalah yang tertinggi iaitu lebih 1,000 ahli berbanding MACMA di negeri-negeri lain di Malaysia.
Menurut Dr Taufiq, dua nilai yang mesti diterapkan kepada masyarakat di negara ini iaitu nilai keberkatan dan menghormati orang tua.
“Salah satu nilai yang ada pada Tahun Baharu Cina iaitu kita mesti makan sama-sama. Sebab makan bersama-sama itu membawa berkat.
“Kita mahu supaya nilai yang sama kita bawa dalam keluarga sebab kita melihat keluarga hari ini seperti tidak bersatu hanya kerana mereka tidak makan bersama, bila makan bersama-sama hati kita bersatu kita boleh bincang lebih daripada kita buat kerja lain.
“Signifikan makan bersama ini merupakan satu yang cukup hebat nilainya dalam Islam yang mana sesuai untuk dijadikan amalan baik dikalangan seluruh masyarakat.
“Makan bersama ini juga sebagai satu rasa hormat dikalangan orang yang lebih tua contohnya seperti terlebih dahulu memanggil datuk, nenek, ibu dan bapa untuk diajak makan bersama, kita jangan mula makan dahulu, biar orang tua makan dahulu baru kita makan. Jadi itulah dua nilai yang baik jika makan bersama iaitu keberkatan dan menghormati orang tua,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Taufiq turut mengumumkan MACMA cawangan Sabah akan membina satu mercu tanda iaitu bangunan Pusat Kebudayaan Cina Muslim yang terletak di kawasan Karamunsing.
“MACMA cawangan Sabah akan membina bangunan Pusat Kebudayaan Cina Muslim yang dijangka pembinaannya bermula pada tahun hadapan.
“Uniknya bangunan ini, rekabentuknya mempamerkan kombinasi budaya Cina dengan kepelbagaian budaya suku kaum etnik yang terdapat di Sabah.
“Apabila bangunan itu siap nanti, di situlah pusat untuk ahli persatuan MACMA akan menjalankan semua aktiviti berkaitan,” kata Dr Taufiq.