HomeUtamaRM3.43 juta diperuntuk untuk AKWan, tingkat kepimpinan wanita

RM3.43 juta diperuntuk untuk AKWan, tingkat kepimpinan wanita

Read Time:2 Minute, 21 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri telah memperuntukkan  sebanyak RM3.43 juta dibawah projek khas Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) iaitu Akademi Kepimpinan Wanita (AKWan) bagi tempoh 2022-2024 dalam usaha membudayakan kesaksamaan gender dan membangun potensi wanita di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya berharap AKWan akan terus memperkasakan golongan wanita melalui program-program kepimpinan dengan modul kursus yang terbaik.

Beliau turut yakin dengan kerjasama antara Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) akan dapat mempertingkatkan lagi kepimpinan wanita berwibawa di negeri ini.

“Saya dimaklumkan program ini, memfokus kepada memberi latihan dan meningkatkan kualiti kepimpinan golongan wanita di Sabah. Justeru, program ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang mengambil berat terhadap kebolehan dan tahap keberkesanan kepimpinan wanita dalam pelbagai aspek dan peringkat.

“Malah, kerajaan juga berpegang teguh pada prinsip memperkasakan wanita dan terus menggalakkan mereka untuk mengambil minat yang lebih aktif sama ada dalam aspek sosial, ekonomi mahu pun politik negeri.

“Oleh itu, saya yakin graduan AKWan mampu menggalas tanggungjawab sebagai seorang pemimpin pada masa akan datang. Saya dimaklumkan sasaran peserta AKWan ini terdiri daripada pemimpin politik, orang muda di peringkat akar umbi selain yang terlibat dalam syarikat berkaitan kerajaan atau GLC,” katanya sempena Majlis Graduasi Kursus Kepimpinan Wanita (AKWan) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

Hajiji berkata, kerajaan negeri menghargai usaha JHEWA dan MPWS dalam memperkasa golongan wanita di negeri ini.

“Justeru, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) melalui JHEWA telah diperuntukkan sebanyak RM4.2 juta bagi pelaksanaan program Kemahiran Ibu Tunggal dan Wanita B40, Program Kepimpinan dan Kesaksamaan Gender serta Program-program Kesedaran, manakala MPWS sebanyak RM700,000,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, sejajar perubahan masa kini, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam memegang jawatan tinggi dan pembuat keputusan di negeri ini.

Ramai dalam kalangan wanita juga kini memegang jawatan tinggi dan setakat bulan Januari tahun ini, berdasarkan data daripada JHEWA, wanita sebagai pembuat keputusan dalam kerajaan negeri bagi jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) merekodkan 33.3 peratus iaitu seorang wanita daripada tiga orang TSKN.

Jawatan Setiausaha Tetap Kementerian pula mencatat 30 peratus iaitu tiga orang wanita daripada 10 Setiausaha Tetap Kementerian manakala 47.61 peratus bagi Ketua Jabatan iaitu 20 orang wanita daripada 42 Ketua Jabatan.

Berdasarkan data yang diperoleh daripada Jabatan Tenaga Kerja, kajian juga menunjukkan peningkatan wanita sebagai tenaga buruh amat ketara iaitu pada tahun 2020 sebanyak 55.3 peratus, tahun 2021 sebanyak 55.5 peratus dan tahun 2023 terus meningkat kepada 55.9 peratus.

“Kita memerlukan golongan wanita yang berdaya saing, mempunyai idea baharu dan semangat wawasan yang tinggi agar dapat memastikan negeri Sabah maju ke hadapan dan mempunyai barisan pentadbiran yang berdaya saing seiring dengan pembangunan negara,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPMKR

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular