HomeIsu tempatanNashraf, Faridah bakal beraksi di MTQ Negeri April depan

Nashraf, Faridah bakal beraksi di MTQ Negeri April depan

Read Time:1 Minute, 33 Second

Papar:  Qari mewakili daerah Putatan, Nashraf Ideen Nahar dan Qariah mewakili daerah Papar, Faridah Ag. Tangah bakal beraksi di Majlis Tilawah Al Quran (MTQ) Peringkat Negeri Sabah 1445H, April depan.

Nashraf yang memperdengarkan Surah Al Baqaroh mulai ayat 128 dengan taranum soba dan hijaz berjaya menewaskan pencabar terdekatnya, Zunaidi @ Ady Misdaranai dengan kelebihan tiga markah dalam MTQ Peringkat Pantai Barat Selatan di sini, malam tadi.

Kejayaan Guru Tahfiz di Mahad Tahfiz Ibnu Al Ghazali Kg Beringgis itu sekali gus meletakkan Zunaidi yang mewakili Kota Kinabalu di tempat kedua, Syuhaili A Hamid (Tuaran) di tempat ketiga, diikuti Awang Mohamad Ridhwan Rosli (Papar) dan Mohd Aziezul Rosundi (Tamparuli) sebagai penerima saguhati.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar yang juga ADUN Kawang di Masjid Imam Haji Mohd. Yaakub Misir Kg. Beringgis.

Turut mengiringi, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Abdul Rahman Talipudin, Pegawai Daerah Mohd Fuad Abdullah, Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Jabatan Ketua Menteri Azrul Ibrahim dan Setiausaha Sulit Kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Roslie Ibrahim. 

Sementara itu, Faridah, 55, berasal dari Kuala Penyu ketika memperdengarkan Surah Al Anfal mulai ayat 1  dengan taranum rast dan sikah, berhasil meraih markah selesa berbanding qariah yang lain.

Beliau yang merupakan kakitangan awam di Briged Sabah Pasukan Gerakan Am Kem Kinarut mengalahkan wakil Kota Kinabalu, Nurafiqah Mohamad Musa di tempat kedua, Dg Saliha Pg Ag Salleh (Putatan) di tempat ketiga manakala, Siti Farina Terah (Tamparuli) dan Artinah Ajat (Tuaran) masing-masing menerima saguhati.

Majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 umat Islam itu turut dihiburkan dengan persembahan tiga buah lagu nasyid oleh Kumpulan INFAQ.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Petugas Tabung Darah digesa tingkat kemahiran, pengetahuan demi keselamatan pesakit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular