Kota Kinabalu : Penganjuran Fiesta Sukan Bank Rakyat (SuBaRa) 2024 mampu membudayakan dan merakyatkan lagi sukan dalam kalangan warga kerja menerusi amalan gaya hidup sihat dan cergas.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, aktviti sukan juga adalah selaras dengan kerangka Malaysia Madani dan visi Sukan Negara 2030.
“Ini adalah kerana inisiatif sebegini bukan hanya harus ditekankan di peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi sahaja, tetapi juga perlu diamalkan di alam pekerjaan.
“Selain itu, ianya juga agar gaya hidup kita terus kekal aktif dan cergas menerusi aktiviti sukan, fizikal dan seumpamanya.,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Fiesta SuBaRa 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Fiesta yang berlangsung selama empat hari bermula 15 Februari lalu itu telah disertai seramai 818 orang atlet dari seluruh pelusuk negara yang bersaing dalam 16 acara sukan.
Selain diwakili warga kerja pelajar wilayah Bank Rakyat, Fiesta itu turut disertai oleh beberapa wakil daripada setiap agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Ewon berkata, pihaknya turut berharap program seumpama itu mampu menyunyik semangat bekerjsama dan berpasukan yang jitu dalam kalangan agensi di bawah KUSKOP .
Katanya, ia adalah agar aspirasi dan objektif yang dihasratkan Kementerian dapat dicapai.
Terdahulu, ketika ditemui, Ewon berkata, pemilihan Kota Kinabalu sebagai lokasi penganjuran SuBaRa turut membantu kepada aktiviti ekonomi rakyat di negeri ini.
“Harapan saya agar semua kakitangan Bank Rakyat dapat memberi khidmat terbaik melalui semangat berpasukan dan kebersamaan dalam perkhidmatan mereka seharian dipejabat nanti,” katanya. – SABAH MEDIA