HomePolitikPRN SABAH: Hasrat PKR Sabah tanding 25 kerusi DUN setiap kawasan Parlimen...

PRN SABAH: Hasrat PKR Sabah tanding 25 kerusi DUN setiap kawasan Parlimen di Sabah

Read Time:2 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah berhasrat untuk bertanding 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap kawasan Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Hasrat itu disuarakan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Dr. Sangkar Rasam ketika ditemui Sabah Media di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam siri mesyuarat jelajah PKR Sabah di seluruh negeri baru-baru ini.

“Bagi PKR di Sabah selepas diputuskan dalam siri mesyuarat jelajah PKR di seluruh negeri Sabah, PKR Sabah berhasrat untuk bertanding 25 kerusi Dewan Undangan Negeri di setiap Parlimen pada Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.

“Perkara ini, kami akan sampaikan kepada pucuk pimpinan parti Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibincangkan di peringkat Pakatan Harapan (PH) dalam masa yang terdekat ini,” katanya.

Jelas Dr Sangkar, setiap parti ada hasrat, semua parti mahu kerusi yang banyak, jadi perkara itu perlu dimurnikan di peringkat atasan untuk mendapatkan kata sepakat dari semua pihak terbabit sebelum ia diputuskan.

“Setiap parti ada hasrat, semua parti mahu kerusi yang banyak, jadi perkara itu perlu dimurnikan di peringkat atasan dan apabila kata sepakat dapat diputuskan di situ, kami di bawah ini kena ikut, masing-masing ada tujuan tapi akhirnya ditentukan di peringkat
paling atas.

“Ia juga bergantung kepada perbincangan antara PH lagi dan antara parti-parti yang sanggup bekerjasama dengan kita tapi sekurang-kurangnya hasrat PKR Sabah ada satu wakil calon kerusi DUN di setiap Parlimen.

“Bila diputuskan nanti kami terima seadanya… Syaratnya sekarang bagaimana hasrat ini dapat ditunaikan bergantung kepada bagaimana bukti-bukti seperti data-data dan analisis kawasan termasuk kriteria kelayakan 25 calon ini dapat dikemukakan kepada pihak pimpinan atasan,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan PH perlu diteruskan hingga PRN akan datang seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali baru-baru ini, Dr Sangkar berkata, kerjasama itu memang sudah wujud dan dikekalkan walau bagaimanapun hubungan dan kerjasama itu perlu dibaiki sehingga ke peringkat akar umbi.

“Di manapun perpaduan telahpun dilaksanakan di peringkat lebih tinggi terutama dari kepimpinan di atas tetapi apa yang kita lihat perpaduan dari peringkat di sebelah bawah pertengahan di peringkat akar umbi, saya rasa perpaduan ini belum lagi mencapai matlamatnya dengan baik dan ia perlu kita perbaiki dari semasa ke semasa.

“Mengenai dengan apa yang disebut oleh Armizan itu saya beranggapan itu adalah pandangan peribadinya iaitu PH-GRS perlu bekerjasama tapi bagi saya bergantung kepada pimpinan pusat apabila sampai masanya sebab kerjasama ini bagi peringkat kami, kami hanya penyelaras tapi untuk memutuskan gabungan atau kerjasama itu ia perlu diputuskan dari peringkat atasan,” ulasnya.

Ditanya mengenai desas-desus Barisan Nasional (BN) juga turut menawarkan kerjasama kepada PH dalam PRN akan datang, Dr Sangkar berkata, ia adalah tidak mustahil kerana BN sudah ada kerjasama di peringkat pusat.

“Justeru itu, untuk Sabah, saya rasa tidak mustahil kita boleh bergabung bersama BN untuk kepentingan parti, masyarakat dan kepentingan negara untuk dibangunkan terutamanya, kita mahu politik ini stabil di negara kita, jadi bila negara kita stabil dari segi politik barulah kita boleh bangunkan negara kita dengan baik.

“Jadi matlamat kita bersama-sama di negeri ini dengan kestabilan politik yang ada, maksud kita stabilkan politik kita dahulu barulah kita dapat membangunkan negara kita bersama-sama,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular