BEAUFORT: Kebakaran memusnahkan lapan buah rumah di Kampung Bakalau di sini dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang pada Rabu (21 Feb).
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok, pasukan bomba dari BBP Beaufort dan BBP Kimanis bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 5.10 petang tadi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian, terdapat lapan buah rumah jenis tidak kekal telah terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba bertindak memadam api menggunakan sumber air diperolehi dari air sungai oleh kerana ketiadaan pili bomba di kawasan tersebut.
“Namun usaha untuk mendapatkan air terbuka (sungai) juga sangat sukar kerana jarak sungai jauh dari lokasi kejadian.” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Mohammad Hasbullah berkata, pasukan bomba turut mengalami kesukaran untuk memasuki kawasan perkampungan tersebut kerana laluannya terlalu sempit.
“Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran itu,” katanya.
Menurutnya, operasi pemadaman api terkawal pada jam 6.11 petang, manakala pemadaman bara-bara api masih dijalankan pada ketika ini.