Kota Kinabalu : Tunas Asas Bola Sepak Bandaraya (TBB) Kota Kinabalu berazam mahu melahirkan pemain bola sepak bertaraf profesional secara konsisten bermula diperingkat akar umbi.
Pengerusi TBB Kota Kinabalu Mohamed Zaim Ansawi berkata, sehingga kini seramai 96 pelatih berusia enam hingga 18 tahun telah mula menjalani latihan sejak tiga minggu program itu dilaksanakan.
“Kita baru saja menubuhkan satu tunas atau akademi bola sepak yang setakat ini Alhamdulilah mendapat sambutan menggalakkan khususnya dari kanak-kanak berusia enam sehingga 18 tahun sekitar bandaraya Kota Kinabalu.
“Selain mahu melahirkan pemain profesional, kita juga mahu mewujudkan serta merangka sistem pembangunan bola sepak akar umbi secara sistematik dan ke arah peningkatan kuantiti serta kualiti pemain bola sepak,” katanya.
Zaim berkata, pada masa ini pihaknya belum memberi fokus kepada sebarang kejohanan dan mahu memberi perhatian sepenuhnya kepada proses latihan para pelatih.
Katanya, sesi latihan yang dilaksanakan setiap hari Sabtu dan Ahad itu dijalankan di padang Ragbi A dan B SUKMA
“Baru-baru ini kita telah mengadakan kunjungan ke pejabat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan kita dimaklumkan bahawa tunas kita merupakan yang pertama dibawah naungan SAFA Negeri.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada Presiden SAFA dan semua pihak yang terlibat dalam memberi sokongan sepenuhnya kepada kita untuk menjalinkan kerjasama diantara TBB KK Sdn. Bhd dengan SAFA untuk program bolasepak akar umbi,” katanya.
Bagi individu yang berminat untuk menyertai TBB bolehlah melayari laman Facebook Tunas Asas Bola Sepak Bandaraya Kota Kinabalu atau hubungi 017-5136331. – SABAH MEDIA