KOTA KINABALU: Sabah terbuka dengan pelbagai pelaksanaan inisiatif oleh pihak industri yang dapat membantu meningkatkan keupayaan dan kemahiran para belia di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, badan korporat dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) perlu berganding bahu membantu kerajaan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada golongan belia dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran di Sabah.
Beliau berkata demikian semasa Majli Perasmian Pelancaran MBC Training & Consultancy Sdn. Bhd (Cawangan Borneo) di sini, semalam.
Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan.
Syarikat MBC Training & Consultancy Services Sdn Bhd (Borneo) yang diterajui oleh anak tempatan Sabah mengadakan kolaborasi strategik bersama Syarikat MBC Training & Consultancy Services Sdn Bhd dalam merealisasikan hubungan usahasama bagi tujuan mengembangkan perniagaan perkhidmatan latihan dan khidmat nasihat dalam bidang industri keselamatan dan pertahanan di negeri Sabah.
Objektif utama kolaborasi ini adalah bagi melahirkan tenaga kerja yang profesional kepada warga Negeri Sabah dalam bidang keselamatan dan pertahanan yang kian menjadi trend dunia sekarang dalam menghadapi kehidupan yang mencabar disamping objektif yang lain untuk memberi nilai tambah dan kemahiran kepada para belia di Sabah untuk memulakan kerjaya dalam keselamatan dan pertahanan
Selain melahirkan pekerja mahir dalam pelbagai bidang dengan menawarkan latihan selari dengan tuntutan industri serta keperluan pembangunan ekonomi negeri Sabah.
Justeru, dalam ucapannya Hajiji turut melahirkan rasa gembira kerana kolaborasi di antara industri serta usahasama pihak swasta seperti yang diadakan pada hari ini haruslah dilaksanakan dan amatlah digalakkan.
““Sesungguhnya, kerajaan negeri sangat berbesar hati dan terbuka dengan apa-apa pelaksanaan inisiatif oleh pihak industri yang dapat membantu meningkatkan keupayaan dan kemahiran para belia kita.
“Usahasama ini amat relevan kerana banyak manfaatnya, bukan sahaja untuk kesejahteraan rakyat negeri ini malah menyumbang kepada perkembangan sektor industri dan pengukuhan sosio-ekonomi negeri Sabah,” katanya.
Tambah beliau kolaborasi ini juga merupakan salah satu usaha yang meningkatkan kemahiran kepada anak-anak muda yang bersesuaian dengan kehendak pasaran.
“Kolaborasi seperti ini juga adalah sangat releven dalam mendokong usaha kerajaan negeri untuk melonjakkan lagi kebolehpasaran anak-anak muda di Sabah,” ujarnya.