HomeUtamaJKDM Sabah rampas 439 guni kain sarung bernilai lebih RM1.6 juta

JKDM Sabah rampas 439 guni kain sarung bernilai lebih RM1.6 juta

Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas 439 guni mengandungi kain sarung yang disyaki tertakluk dengan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dianggarkan bernilai lebih RM1.6 juta dalam satu serbuan di salah sebuah gudang di Jalan Kolombong di sini pada 5 Januari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, hasil risikan dan penyaluran maklumat Pasukan Tempur Operasi Medan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (COBRA), pasukan serbuan dianggotai oleh anggota JKDM dari Cawangan Operasi Kota Kinabalu dan disertai oleh Pasukan COBRA telah membuat serbuan dan pemeriksaan di gudang berkenaan pada 5 Januari 2024, jam 5 petang.

“Hasil pemeriksaan pasukan serbuan telah menemui 439 guni yang mengandungi kain sarung yang disyaki tertakluk dengan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Pemeriksaan lanjut menunjukkan sebanyak 175,600 helai kain sarung pelbagai corak dengan anggaran berat 39,510 kilogram.

“Barang kes dianggarkan bernilai RM1,635,318.00 dengan melibatkan cukai jualan sebanyak RM163531.89,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Mohd Nasir, semasa serbuan dan pemeriksaan, seorang wanita yang disyaki (OYDS) warga China berumur lingkungan 30’an telah ditahan untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati, kesemua 439 guni kain diimport masuk daripada China yang dikrarkan dengan Garments Fabrics.

“Kesemua barang dagangan ini telah ditahan dan disita. Kes ini masih dalam siasatan lanjut dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Jabatan bagi tindakan selanjutnya selepas siasatan selesai,” katanya.

Beliau berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barangan itu dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barangan itu, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

RELATED ARTICLES
Utama

FCDO  jamin teliti permintaan Sabah tarik semula larangan perjalanan ke Pantai...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular