HomeUtamaSabah rekod 18.7 peratus penduduk berdaftar dengan PADU

Sabah rekod 18.7 peratus penduduk berdaftar dengan PADU

Read Time:1 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu: Seramai 320,000 orang atau 18.7 peratus penduduk Sabah telah mendaftar dalam system Pangkalan Data Utama (PADU) sehingga kelmarin.

Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Sabah, Muhammad Amri Idris berkata, pihaknya kini dalam usaha meningkatkan lagi pendaftaran sistem PADU bagi memastikan rakyat tidak tercicir dalam menerima bantuan kerajaan.

Muhammad Amri Idris

“Masih terdapat beberapa isu yang dihadapi dalam pengisian sistem PADU antaranya isu pengesahan identiti melalui e-KYC, isu pengisian melibatkan warga emas dan masalah capaian internet.

“Bagi sesiapa yang menghadapi isu-isu ini boleh datang ke kaunter yang disediakan untuk mendapatkan bantuan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Forum PADU : Ke Arah Kelestarian, Kesejahteraan dan Kemajuan Rakyat di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini semalam.

Muhammad Amri berkata, selain penyediaan kaunter-kaunter yang sudah dilaksanakan sebelum ini, DOSM juga bekerjasama dengan pelbagai pihak.

Katanya, antaranya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), pejabat Ahli-ahli Parlimen, ketua-ketua komuniti dan pembanci pertanian.

“DOSM turut menggerakkan Flying Squad bagi membantu melancarkan pendaftaran PADU khasnya di kawasan pedalaman,” katanya.

Amri berkata, forum berkenaan memberi manfaat dalam menerangkan fungsi sistem PADU dan bagaimana sistem tersebut dapat diterjemahkan semula kembali kepada rakyat.

“Program dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah dan UMS ini penting dalam usaha menyebarluaskan tentang keperluan untuk mengisi PADU khasnya kepada rakyat di negeri ini.

“Saya nasihatkan penduduk Sabah untuk mengisi sistem PADU secepat mungkin bagi mengelakkan masalah seperti kesesakan capaian dan sebagainya,” katanya.

Sesi forum berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa bersama tiga panel jemputan iaitu Amri, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS, Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad dan Pensyarah Kanan FSSK UMS, Dr. Intan Soliha Ibrahim.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular