HomeUtamaAir sungai di LRA Limbahau tahap kemasinan tinggi, punca gangguan bekalan air...

Air sungai di LRA Limbahau tahap kemasinan tinggi, punca gangguan bekalan air di Papar

Read Time:2 Minute, 8 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PAPAR: Gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar daerah Papar berpunca Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau tidak dapat beroperasi disebabkan tahap kemasinan air sungai terlalu tinggi dan tidak dapat diproses.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, keadaan kemarau yang berpanjangan juga antara sebab LRA Limbahau tidak dapat beroperasi sejak 20 hari yang lalu menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan sekitar daerah Papar.

Shahelmey (dua kiri) meninjau keadaan air sungai di Loji Rawatan Air Limbahau hari ini.

“Loji ini telah tidak beroperasi sejak 20 hari yang lalu disebabkan oleh keadaan kemarau yang berpanjangan yang menyebabkan air laut masuk ke dalam sungai ini sehinggalah ke kawasan intake air yang ada sekarang.

“Ini menyebabkan tahap kemasinan air sungai yang ada pada masa sekarang jumlah bacaan 2899 mg/L yang jauh melebihi had maksima yang dibenarkan iaitu 120 mg/L, justeru, loji ini tidak dapat berfungsi,” jelasnya pada sidang media selepas membuat tinjauan ke LRA Limbahau di sini, hari ini.

Namun begitu, Shahelmey berkata, buat masa ini penduduk yang terjejas dibekalkan air dari LRA Kogopon.

“Jadi dalam masa loji ini tidak berfungsi kita terpaksa menggunakan air daripada Loji Rawatan Air Kogopon untuk kita bekalkan kepada lebih 52 ribu penduduk yang terjejas yang sepatutnya menerima bekalan air dari loji Limbahau.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Air dan meminta kerjasama daripada pejabat Daerah Papar untuk mengagihkan air di kawasan- kawasan yang terjejas.

Sehubungan dengan itu, beliau turut memaklumkan, semalam di Kabinet Negeri, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor juga bersetuju untuk melakukan pembenihan awan bagi mencetus hujan di kawasan-kawasan di hulu.

“Pembenihan awan ini dilakukan supaya air daripada sungai akan bertambah seterusnya boleh memberi bekalan air kepada loji-loji rawatan air kita yng terkesan dan juga kepada kawasan-kawasan yang menggunakan air graviti,” katanya.

Dalam pada itu, Shahelmey turut mencadangkan intake air kedua perlu dibina di LRA Limbahau untuk menangani masalah kemasukan air masin di loji berkenaan.

“Memandang LRA Limbahau ini telah mempunyai rekod tahap kemasukan air masin yang tinggi sejak beberapa tahun yang lalu dan pada tahun lepas sahaja loji ini terpaksa ditutup operasinya selama lebih kurang 14 hari dan pada tahun ini sehingga hari ini sudah lebih 20 hari.

“Jadi kita memikirkan satu penyelesaian untuk membuat intake air kedua yang bebas daripada pengaruh air masin yang masuk ke dalam sungai.

“Perkara itu, saya sudah berbincang kepada pengarah dan jurutera tadi untuk mengenal pasti intake kedua bagi LRA Limbahau ini, jadi apabila intake pertama masuk air masin kita akan guna intake kedua nanti untuk memastikan loji Limbahau ini boleh terus beroperasi,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah bermula hari ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular