HomeUtamaSabah, USIM jalin kerjasama untuk program pengajian kitab turath

Sabah, USIM jalin kerjasama untuk program pengajian kitab turath

Read Time:1 Minute, 31 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri bakal mengadakan kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi penajaan pelajar negeri ini untuk menjalani program pengajian kitab turath secara eksklusif selama tiga tahun di universiti berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini antara usaha diambil untuk mendalami ilmu turath.

“Program yang dinamakan sebagai Duta Turath Sabah@USIM ini ditawarkan kepada pelajar negeri Sabah yang menyambung pengajian di USIM.

“Saya melihat usaha ini sebagai satu inisiatif yang amat baik khususnya untuk kita semua mendapat manfaat daripada ilmu turath ini.

“Besar harapan saya agar pelajar yang berjaya melalui program ini dapat menjadi ilmuan yang mampu memainkan peranan bagi pemerkasaan turath Islam di negeri Sabah setelah menamatkan pengajian nanti,” katanya ketika merasmikan Simposium Antarabangsa Turath Sabah, Malaysia 2024 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji menyeru umat Islam di Sabah untuk memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan perubahan sikap yang merupakan antara penzahiran akhlak yang baik.

“Ini bagi meningkatkan dan memperkasakan ilmu pengetahuan serta penghayatan Islam untuk melahirkan modal insan yang dinamik dan inovasi.

“Saya berharap semoga semua yang menghadiri simposium ini akan mendapat ilmu pengetahuan yang bukan saja untuk diri sendiri malah dikongsikan dengan umat Islam di negeri ini,” katanya.

Simposium ini antaranya bertujuan memartabatkan kitab-kitab turath Islam dan menzahirkan sumbangannya agar sentiasa relevan kepada umat sehingga hari ini.

Sehubungan itu beliau berharap program ini akan memberi manfaat dan ilmu yang berguna kepada umat Islam di negeri ini.

“Dalam masa sama, menerusi program ini juga akan dapat membincangkan kerangka sebenar pembacaan kitab turath agar isi kandungan yang terdapat di dalamnya dapat dimanfaatkan.

“Sesungguhnya, mempelajari kitab Turath adalah penting dan perlu dijadikan sebagai panduan bagi mendalami ilmu serta memahaminya, sekali gus disesuaikan dengan konteks dunia Islam semasa,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KSTI

RELATED ARTICLES
Utama

KKDW peruntukkan RM2.4 juta untuk baiki saluran paip di Sepanggar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular