HomeUtamaKrisis air UMS : Enam telaga tiub sudah siap digerudi

Krisis air UMS : Enam telaga tiub sudah siap digerudi

Read Time:1 Minute, 28 Second

Kota Kinabalu : Enam telaga tiub yang dibina di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggunakan dana RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu kini sudah siap digerudi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, projek bagi mengatasi masalah air di UMS itu dijangka siap sepenuhnya menjelang Tarikh ditetapkan iaitu pada 26 Mac ini.

“Buat masa ini proses mengerudi telaga tiub sudah siap sepenuhnya dan sekarang ini kontraktor sedang membuat takungan serta penapis dengan pencapaian kerja setakat ini sudah lebih kurang 70 peratus.

“Pada masa yang sama, kita juga sudah melantik kontraktor untuk membuat pemasangan paip ke asrama (kolej kediaman pelajar) dan projek itu juga sedang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri taklimat Pelan Induk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) 2023-2026, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata demikian bagi mengulas perkembangan projek telaga tiub di UMS yang dimulakan pada Januari lalu.

Beliau akan memastikan projek berkenaan siap pada masa yang ditetapkan selain membolehkan para pelajar menggunakan bekalan air yang ada apabila sesi baharu bermula.

“Saya mahu pastikan bahawa projek ini siap pada masa yang ditetapkan, apa lagi kita akan menyambut Ramadan.  Jadi saya tidak mahu ada lagi isu-isu yang ditimbulkan oleh pelajar semasa bulan Ramadan apabila mereka masuk untuk mendaftar semester akan datang.

“Saya juga mahu akhirnya nanti apabila siap, ia memang boleh digunakan oleh pelajar.  Itu yang saya akan buat pemantauan secara berkala untuk pastikan ianya siap sepenuhnya, bukan siap gerudi sahaja tapi siap sampai kepada pelajar,” katanya.

Pembinaan projek ini adalah selepas pelajar UMS mengadu menghadapi kesukaran menjalani rutin harian hingga tidak mandi berhari-hari disebabkan bekalan air yang terhad dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS). – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular