HomeUtamaPengguna kuasa elektrik yang besar di Sabah disaran sertai DSM bagi kurangkan...

Pengguna kuasa elektrik yang besar di Sabah disaran sertai DSM bagi kurangkan beban grid

Read Time:1 Minute, 37 Second

BERNAMA

Kota Kinabalu :  Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) menyarankan pengguna kuasa elektrik besar di negeri itu yang mempunyai set janakuasa sendiri untuk menyertai program Pengurusan Sisi Permintaan (DSM) bagi mengurangkan beban grid elektrik dan mengelak catuan bekalan kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata program DSM dilaksanakan  sebagai mitigasi segera bermula 1 Mac lepas apabila margin simpanan menurun sehingga di bawah tahap selamat.

Beliau berkata program DSM telah diaktifkan beberapa kali bulan ini selepas set janakuasa di salah sebuah loji janakuasa utama dihenti tugas buat sementara waktu bagi pelaksanaan penyelenggaraan terancang yang tidak boleh ditangguhkan lagi.

“Set janakuasa itu akan terus dihenti tugas sehingga akhir bulan ini. Kejadian seumpama ini dijangka akan terus berulang sehingga penghujung tahun ini disebabkan margin simpanan yang rendah akibat kekurangan kapasiti penjanaan di Grid Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurutnya pengguna kuasa elektrik yang besar akan mengendalikan set janakuasa mereka atas arahan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) ketika keadaan kekurangan kapasiti penjanaan tenaga yang kritikal.

“Setakat ini 19 pengguna kuasa elektrik yang besar telah menyertai program DSM ini dan ia berjaya mengurangkan beban grid sehingga 18MW ketika diaktifkan,” katanya.

Beliau berkata ECoS dan SESB akan meneruskan usaha mengenal pasti pengguna berpotensi untuk menyertai program tersebut bagi memberikan kelegaan kepada sistem grid Sabah ketika waktu puncak.

“Pengguna yang menyertai program ini akan diberikan pampasan untuk penggunaan bahan bakar diesel sewaktu pengoperasian set janakuasa mereka dalam tempoh DSM, bagaimanapun catuan bekalan masih perlu dilakukan jika pengurangan beban grid melalui kaedah DSM ini tidak mencukupi,” katanya.

Abdul Nasser jturut menggesa semua pengguna untuk mengamalkan penggunaan tenaga yang cekap dan menjimatkan, yang dapat membantu mengurangkan catuan bekalan di samping mengurangkan bil elektrik serta kadar pelepasan karbon.

Menurutnya antara contoh amalan penggunaan tenaga yang cekap dan menjimatkan adalah dengan menetapkan suhu penyaman udara pada 24 hingga 26 darjah Celsius.

“Perubahan suhu dari 20 kepada 24 darjah Celsius akan memberikan penjimatan 33 peratus tenaga elektrik,” katanya. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular