HomeUtamaCuaca Panas : JKNS pastikan kelengkapan rawatan, bekalan ubat mencukupi

Cuaca Panas : JKNS pastikan kelengkapan rawatan, bekalan ubat mencukupi

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) terus melaksanakan pemantauan terhadap penyakit berkaitan cuaca panas di negeri ini termasuk memastikan kelengkapan rawatan dan bekalan ubat mencukupi di setiap fasiliti kesihatan.

Pengarah JKNS Datuk Dr Asits Sanna berkata,  ini termasuklah menjalankan aktiviti promosi serta pendidikan kesihatan berkaitan panduan penjagaan kesihatan semasa cuaca panas kepada masyarakat.

Sehubungan itu pihaknya turut mengingatkan orang ramai ketika cuaca panas ini untuk sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan yang diberikan.

“Antaranya termasuklah meminum air kosong yang mencukupi, kurangkan pengambilan minuman berkafein, alkohol dan bergula. Di bulan Ramadan ini, bagi yang berpuasa seharusnya minum air secukupnya iaitu lapan gelas air sehari diantara sewaktu berbuka puasa sehingga waktu sahur.

“Menggunakan pendingin hawa atau kipas untuk menyejukkan badan; memakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang serta memakai topi atau payung untuk melindungi diri dari pancaran haba matahari sekiranya berada di luar bangunan.

“Selain itu juga, orang ramai juga perlu sentiasa peka dengan kehadiran haiwan liar seperti ular yang mana ketika cuaca panas, ular terpaksa keluar daripada habitat untuk mencari tempat yang redup dan banyak sumber makanan seperti dalam rumah dan kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Asits berkata, cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh lalu menyebabkan cecair dalam badan berkurangan.

Katanya, antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas adalah badan terasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi cepat, pening, mual dan boleh mengakibatkan sawan ataupun pengsan. 

“Kanak-kanak dan warga emas adalah golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan daripada keadaan ini.

“Segeralah berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda- tanda awal kekejangan haba, kelesuan haba, strok haba dan sekiranya dipatuk ular. 

“Nasihat kesihatan bagi krisis ini juga boleh diperolehi daripada Portal Rasmi Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia di laman sesawang https://www.infosihat.gov.my/cuaca-panas.html,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pasukan sukarelawan dicadang diwujudkan bantu mangsa banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular