HomeUtama31 notis kesalahan dikeluarkan, peniaga bazar ramadan tidak patuh peraturan - JKNS

31 notis kesalahan dikeluarkan, peniaga bazar ramadan tidak patuh peraturan – JKNS

Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah mengeluarkan sebanyak 31 notis kesalahan berjumlah RM3700 kepada peniaga di bazar ramadan atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan dibawahnya.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna berkata, setakat semalam pihak JKNS telah memeriksa sebanyak 240 premis, 31 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan kompaun berjumlah RM3700.

“Didapati bazar ramadan di Tawau merupakan daerah penyumbang tertinggi kompaun dikeluarkan iaitu 18 kompaun, diikuti Keningau tujuh dan lain-lain daerah.

“Pemantauan bazar ramadan tahun ini melibatkan 105 lokasi di seluruh Sabah dengan jumlah gerai sebanyak 5674,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Pemantauan Keselamatan Makanan Walkabout JKNS bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi memantau pengendalian makanan di bazar ramadan Lintasan Deasoka di sini, hari ini.

Dr Asits berkata, pemantauan ini adalah untuk memastikan pengendali makanan menyediakan makanan dengan bersih dan selamat serta juga mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan dibawahnya.

“Sebelum ramadan ini kami telah mengadakan sesi taklimat sebanyak 26 sesi kepada semua peniaga-peniaga bazar ramadan supaya mereka mematuhi keperluan yang telah ditetapkan.

“Kita berharap pada tahun ini tiada kes keracunan makanan dari bazar-bazar ramadan di seluruh Sabah berbanding tahun lalu sebanyak 65 kes keracunan makanan membabitkan makanan dari bazar ramadan,” katanya.

Menurutnya, antara kompaun yang dikeluarkan iaitu atas kesalahan menggaji pekerja pengendalikan makanan, pekerja tiada sijil latihan pengendalian makanan, tiada suntikan vaksin anti tifoid, pakaian tiada apron, tiada kasut, tiada tutup kepala, pengendali tiada kebersihan diri seperti kuku panjang, pengendali memakai perhiasan diri seperti jam, cincin dan sebagainya.

Mengulas mengenai pengendali makanan menggunakan pewarna makanan yang tidak dibenarkan, Dr Asits berkata, sampel makanan tersebut akan dihantar ke makmal untuk dianalisis.

“Sekiranya ada aduan peniaga yang menggunakan pewarna makanan yang tidak dibenarkan, kita akan pergi ke gerai berkenaan dan mengambil sampel makanan yang dinyatakan dan hantar ke makmal untuk dianalisis.

“Sekiranya pengguna ada sebarang kemusykilan mengenai keselamatan makanan, bolehlah mengajukan melalui Aduan Whatsapp Sabah Healthline di talian 0198602929,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular