HomePolitikPerkukuhkan saf PKR Sabah, abaikan gerakan berkepentingan peribadi - Dr Sangkar

Perkukuhkan saf PKR Sabah, abaikan gerakan berkepentingan peribadi – Dr Sangkar

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Pengerusi MPN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam menyifatkan dakwaan terhadap kepimpinannya yang dikeluarkan Ketua Cabang Kota Marudu pada Isnin adalah fitnah dan tidak berasas.

“Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan Ketua Cabang Kota Marudu pada Isnin, sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, saya ingin menegaskan bahawa beliau telah melakukan sebuah fitnah yang tidak berasas dan tidak mencerminkan pandangan sebenar suara akar umbi PKR Sabah.

“Beliau telah melakukan tuduhan jahat bahawa saya belum pernah mengadakan program-program memperkasakan kepimpinan parti semenjak dilantik menjadi Pengerusi Negeri pada 2022.

“Perkara ini sama sekali langsung tidak benar kerana sepanjang lebih setahun yang lalu program-program parti yang saya telah anjurkan dipenuhi ahli-ahli parti seluruh pelusuk Sabah serta seringkali dihadiri oleh wakil Pejabat Perdana Menteri sendiri,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tuduhan yang dilakukan terhadapnya ini bukan sahaja memalukan PKR, tetapi tindakan ini juga akan membantutkan gerak kerja parti dalam melakukan persiapan menuju pilihan raya negeri Sabah yang akan datang.

“Kita harus terus bersatu dalam memfokuskan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat Sabah, bukan terlibat dalam mencetuskan pergolakan dalaman yang hanya membuang masa ramai pihak yang tulus bekerja untuk parti.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya akan terus menunaikan amanah yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan penuh tanggungjawab dan integriti.

“Oleh itu, saya tidak akan berganjak dari tugas saya untuk memastikan PKR terus berkhidmat untuk kemajuan dan kesejahteraan Sabah,” katanya.

Menurut Dr Sangkar, pergolakan dalaman seumpama ini dalam kepemimpinan PKR Sabah bukanlah kali pertama berlaku dan perletakan jawatan kepemimpinan tanpa sebarang isu berkepentingan rakyat tidak akan dapat mengelakkan isu sebegini dari berulang kembali.

“Jentera parti kini sedang berada dalam keadaan bersiap-siaga untuk berhadapan pilihan raya negeri yang bakal tiba.

“Justeru, saya komited untuk memastikan kepimpinan saya sebagai Pengerusi MPN bakal meraih penambahan kemenangan kerusi DUN untuk PKR kekal berperanan penting mengemudi kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau turut menyeru semua pihak agar bersama meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi sesetengah pihak untuk meneruskan bekerjasama demi memperkasakan keutuhan PKR Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular