HomeUtamaMPOGCF adakan pertukaran MoA dengan dua rakan strategik

MPOGCF adakan pertukaran MoA dengan dua rakan strategik

Read Time:2 Minute, 42 Second

Tawau : Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) hari ini telah mengadakan pertukaran dua memorandum perjanjian (MoA) dengan dua rakan strategik iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sabah Softwoods Berhad (SSB).

Pertukaran MoA itu adalah melibatkan projek ‘Guidelines for Biodiversity-friendly Plantation’ antara MPOGCF dan UPM serta MoA bagi projek kajian ‘Bornean Elephant Grass Planting’ antara MPOGCF, UPM dan Sabah Softwoods Berhad.

Pelaksanaan bagi projek ‘Guidelines for Biodiversity-friendly Plantation’ dijadualkan akan mengambil masa setahun dengan menggunakan peruntukan sebanyak RM298,462.50 yang disalurkan MPOGCF.

Pertukaran MoA tersebut dilakukan antara Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud dan Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan UPM, Profesor Dr. Anjas Asmara @ Ab Hadi Samsudin.

Projek yang diketuai Dr. Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan dari UPM itu bertujuan menyediakan garis panduan kepada kesemua pemegang taruh dalam industri sawit untuk menangani isu yang melibatkan kelestarian biodiversiti di ladang sawit di negara ini.

Manakala bagi projek kajian ‘Bornean Elephant Grass Planting’ pula, MPOGCF telah meluluskan peruntukan berjumlah RM451,818 dan tempoh kajian adalah selama dua tahun, bermula tahun ini.

Pertukaran MoA tersebut dilakukan antara Hairulazim, Ketua Pegawai Eksekutif, Sabah Softwoods Berhad, Datuk Mohd Daud Tampokong dan Profesor Dr. Anjas Asmara.

Majlis pertukaran dua memorandum tersebut diadakan di Conference Room, Tree Plantation Central Office, Brumas, Sabah Softwoods Berhad, Tawau.

Hairulazim dalam ucapannya berkata, penerbitan garis panduan tersebut akan melibatkan beberapa aktiviti kajian lapangan untuk verifikasi dapatan kajian, seminar dan bengkel untuk para penulis membincangkan perincian kandungan garis panduan dan aktiviti editorial ikhtisas untuk kumpulan penyunting.

“Justeru, adalah menjadi harapan MPOGCF agar garis panduan ini dapat membantu industri sawit Malaysia dalam menguruskan ladang kelapa sawit mampan yang mesra hidupan liar.

“Inisiatif ini sekali gus berupaya menangani konflik manusia-hidupan liar yang sering berlaku di ladang kelapa sawit bagi mencapai matlamat kehidupan bersama secara harmoni tanpa menjejaskan hasil minyak sawit,” katanya.

Selain itu, Hairulazim berkata, objektif kajian ‘Bornean Elephant Grass Planting’ yang diketuai Prof. Madya Dr. Hasliza Abu Hassim dari UPM adalah untuk menentukan ciri kaedah penanaman dan komposisi pemakanan rumput Napier, serta menilai dan mengemaskini keberkesanan penggunaan koridor yang ditanam dengan rumput Napier dalam mempengaruhi pergerakan kumpulan gajah.

“Koridor ini telah diwujudkan oleh syarikat Sabah Softwoods Berhad dengan inisiatif kerjasama WWF-Malaysia bagi menghubungkan Hutan Simpan Ulu Kalumpang di bahagian tenggara selatan dan Hutan Simpan Ulu Segama yang terletak di bahagian utara,” katanya.

Katanya, kewujudan koridor ini membolehkan pergerakan spesies hidupan liar yang terancam terutamanya gajah pigmi Borneo dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain.

“Projek ini turut memberi penekanan untuk membantu dalam membina kapasiti pakar tempatan dengan memberi latihan kepada pelapis saintis muda Malaysia dalam bidang pemuliharaan ekologi dan hidupan liar di Sabah melalui pembiayaan program ijazah Sarjana Sains (MSc) di universiti tempatan.

“Besar harapan kami di MPOGCF agar projek kajian ini dapat membantu pihak berkepentingan terutamanya Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah untuk mendapatkan maklumat kajian terkini mengenai pergerakan dan populasi spesies gajah bagi mewujudkan pelan tindakan seterusnya untuk mendapatkan hala tuju dan panduan strategi, keutamaan dan tindakan pemuliharaan spesis terancam ini di peringkat negeri,” katanya.

Projek kajian itu yang dijalankan oleh empat ahli akademik dari UPM dengan diketuai Prof Madya Dr Hasliza Abu Hassim serta dianggotai Prof Madya Dr Hafandi Ahmad, Dr Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan dan Dr Mohd Huzairi Mohd Zainudin. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular