HomeUtamaSeorang lagi ‘Geng Upik’ Didakwa Hari Ini

Seorang lagi ‘Geng Upik’ Didakwa Hari Ini

Read Time:2 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Seorang lagi individu lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan tertuduh Mohd Fikrie Isme, 28, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Tertuduh terbabit sedang menjalani tahanan berkaitan dadah di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor, selama tiga tahun sejak 9 Disember 2023.

Dia didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang itu di Kota Kinabalu antara 2022 hingga 12 Oktober 2023 merupakan individu ke-14 didakwa selepas 11 individu termasuk seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ didakwa pada 22 Jan lepas manakala dua lagi didakwa pada 1 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail memohon kes Mohd Fikrie dipindahkan ke Mahkamah Tinggi bersama 13 tertuduh sebelum ini, dan Noor Hafizah membenarkan permohonan berkenaan.

Sementara itu, kesemua 14 individu yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ke atas mereka ketika dihadapkan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Tertuduh masing-masing didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Prosiding pertuduhan terhadap setiap tertuduh dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ismail Brahim pada sebelah petang tadi.

Mahkamah kemudian menetapkan lima hari untuk sebutan semula bagi serahan dokumen, masing-masing pada 27 Mac ini, diikuti 2 April, 4 April, 8 April dan 17 April depan.

Bagi sebutan semula pada 27 Mac ini, seramai empat tertuduh akan dipanggil untuk prosiding di Mahkamah Tinggi 1 Kota Kinabalu, iaitu Datuk Maslan Sani, 41; Fazrul Bahar, 32; Norsyafilah Pawawoi, 28 dan Rahman Bujirin, 44.

Pada 2 April depan, seramai dua tertuduh, iaitu Mohd Faridzul Asmahadi, 31; Mohd Fikrie Asme, 28 dipanggil untuk sebutan semula di Mahkamah Tinggi 5, diikuti seramai dua lagi tertuduh pada 4 April depan iaitu Nelson Yen Yee Chung, 46 dan Alkan Abraham, 35 di Mahkamah Tinggi 4.

Baki empat lagi tertuduh akan dipanggil untuk sebutan semula di Mahkamah Tinggi 2 pada 8 April depan iaitu Shahlan Shah Abdul Samad, 37; Mahathir Jibarail, 49; Zulkahar Dusing, 29 dan Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45.

Seterusnya, dua tertuduh iaitu Mohd Fauzie Rablin, 33 dan Mazlan Mahmud, 41 dipanggil untuk sebutan semula di Mahkamah Tinggi 3 pada 17 April depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nur Ainaa Ridzwan, Lina Hanini Ismail dan Siti Hajah Mat Radzi, manakala bagi tertuduh diwakili peguam masing-masing kecuali Zulkahar, Mohd Fikrie dan Rahman tidak diwakili peguam.

Hakim turut membenarkan permohonan DPP untuk semua tertuduh dilanjutkan tahanan reman.

RELATED ARTICLES
Utama

MUIS, JHEAINS digesa bincang, kajian bina kuarters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular