HomeIsu tempatanCubaan bawa masuk dadah di perairan Kudat gagal

Cubaan bawa masuk dadah di perairan Kudat gagal

Read Time:1 Minute, 16 Second

Kudat : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas sembilan paket dadah jenis Methamphetamine yang cuba dibawa masuk di kawasan perairan Kudat awal pagi kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, dalam operasi yang dijalankan dan maklumat diterima, pihaknya segera ke lokasi sekitar jam 4.30 pagi.

“Setibanya di lokasi iaitu lebih kurang 0.2 batu nautika timur Pulau Bankawan, Banggi, sebuah bot telah dikesan sedang bergerak dalam keadaan yang mencurigakan.

“Semasa cuba menghampiri bot terbabit, tiba-tiba bot berkenaan memecut laju menuju kawasan cetek hutan paya bakau berhampiran.

“Sekitar jam 4.50 pagi, sebuah bot jenis pam berwarna biru tanpa nombor pendaftaran berjaya ditemui tanpa penumpang dipercayai bot suspek yang ditinggalkan dan suspek dipercayai nekad terjun ke laut melarikan diri di kawasan hutan bakau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit menemukan sembilan paket lutsinar disyaki dadah jenis Methamphetamine dianggarkan lebih kurang 400 gram dipercayai cuba dibawa masuk ke kawasan daratan.

Katanya, bot serta barang rampasan seterusnya dibawa masuk ke Jeti Marina Kudat dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM50,000.

“Berikutan daripada kejadian berkenaan, pihak Zon Maritim Kudat memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Kudat membantu pihak Agensi untuk melaporkan jika terdapat sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut kepada Maritim Malaysia dengan menghubungi talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

100 warga emas diraikan sempena Hari Natal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular