HomeUtamaBantuan subsidi tiket penerbangan mula disalurkan minggu hadapan

Bantuan subsidi tiket penerbangan mula disalurkan minggu hadapan

Read Time:2 Minute, 27 Second

Johor Bahru: Bantuan subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 kepada semua pelajar Sabah yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan akan mula disalurkan minggu hadapan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pembayaran sekali bayar itu akan disalurkan terus ke dalam akaun pelajar yang akan diselaraskan melalui agensi tajaan pelajar masing-masing.

Bagaimanapun katanya, bagi pelajar yang tidak mempunyai tajaan agensi berkaitan, pembayaran bantuan subsidi itu akan diselaraskan oleh Pejabat Tugas-Tugas Khas (PTTK) selepas mendapat pengesahan dari universiti atau kolej berkenaan.

“Berikutan pengumuman Ketua Menteri berhubung subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 seorang, pembayaran akan dibayar melalui akaun bank pelajar yang akan diselaraskan oleh agensi penaja yang berkaitan.

“Ini bermaksud, jika pelajar itu ditaja oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), pembayaran akan dibayar terus kepada pelajar berkenaan dan jika ia mendapat biasiswa Kerajaan negeri, bayaran akan disalurkan oleh Kerajaan negeri.

“Jika pelajar itu tajaan Yayasan Sabah, peruntukan yang disalurkan melalui Jabatan Ketua Menteri (JKM) itu akan diselaraskan Yayasan Sabah dan pembayaran juga akan terus dibuat ke akaun pelajar yang ditaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa dan Mahasiswi Sabah di IPT Semenanjung di Johor Bahru di sini.

Arifin yang juga menteri bertanggungjawab dengan pendidikan di Sabah berkata, kaedah itu adalah bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pembayaran berikutan data yang telah tersedia di agensi penaja berkaitan.

“Proses semakan dan yang berkaitan akan mula dilaksanakan bermula minggu ini dan InsyaAllah pembayaran akan diterima menjelang raya ini,” katanya.

Sementara itu, Arifin berkata, bagi pelajar yang tidak mempunyai tajaan dan hanya membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pembayaran akan dibuat secara tunai selepas mendapat pengesahan melalui universiti atau kolej berkaitan.

“Bagi pelajar yang tiada biasiswa dan dermasiswa yang hanya ada PTPTN, PTTK akan mendapatkan maklumat dari semua universiti di Semenanjung, Sarawak dan Labuan bagi memperoleh pengesahan sama ada pelajar itu masih belajar atau tidak.

“Selepas itu, jika ada sudah pengesahan universiti, barulah kita akan salurkan pembayaran secara tunai di universiti terlibat. Ini kerana, subsidi ini bukan sahaja untuk hari raya tetapi tempohnya adalah sehingga Oktober 2024,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, penyaluran bantuan subsidi kepada pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan menunjukkan keprihatinan Ketua Menteri terhadap pembangunan modal insan yang menjadi agenda utama hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Sebaik sahaja berita baik ini diumumkan Ketua Menteri, saya melihat reaksi dari pelajar yang saya temui amat positif dan rata-rata mereka mengucapkan terima kasih atas keprihatinan beliau kepada pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Terdahulu, Isnin lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk bantuan subsidi tiket penerbangan kepada semua pelajar Sabah yang belajar di IPT awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Bantuan sekali bayat sebanyak RM600 seorang itu adalah dana daripada peruntukan khas Ketua Menteri.

“Bantuan khas ini boleh digunakan pada bila-bila masa untuk pulang ke Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KSTI

RELATED ARTICLES
Utama

Sistem air minuman secara mudah alih, berkuasa solar berjaya dibangunkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular