HomeIsu tempatanProgram Qaseh Ramadan bawa keceriaan penghuni RAY Home Tuaran

Program Qaseh Ramadan bawa keceriaan penghuni RAY Home Tuaran

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Program Qaseh Ramadan anjuran pasukan Pengakap Kelana C Daerah Sembulan telah membawa keceriaan kepada 34 penghuni Rumah Anak Yatim Home Tuaran di sini, baru-baru ini.

Pasukan pengakap tersebut telah menyantuni anak-anak yatim di rumah berkenaan dengan penyampaian sumbangan berupa barang keperluan asas, duit raya serta juadah sahur.

Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Pengarah Program, Muhammad Zikri Akhmal kepada warden Home Tuaran, Abu Huzaifah Kamal.

Pengarah Program, Muhammad Zikri Akhmal (dua kanan) menyampaikan sumbangan barang keperluan asas dan kewangan kepada Warden HOME Tuaran, Abu Huzaifah Kamal. – Foto ihsan Pengakap Kelana C Daerah Sembulan.

Menurut Zikri, program yang dinamakan ‘Qaseh Ramadan’ itu telah dijalankan sejak tahun 2014 dan tahun ini merupakan kali terakhir mereka menjalankan program tersebut bagi memberi laluan kepada program komuniti yang lain.

“Program seperti ini memberi peluang untuk kita menyelami kehidupan anak-anak yatim yang secara tidak langsung dapat memupuk keinsafan dalam diri.

“Selain itu, kita juga dapat beramah mesra dengan penghuni rumah kebajikan ini dan dalam masa yang sama dapat berkongsi rezeki bersama mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Program, Michaelson Jeremy Jeni berkata, pihaknya bangga dapat melaksanakan inisiatif berkenaan dan berharap ianya dapat diteruskan pada masa hadapan serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian dalam program kali ini.

“Saya bagi pihak krew Kelana C Daerah Sembulan berterima kasih atas sumbangan orang ramai dalam menjayakan program ini.

“Pihak kami juga turut berterima kasih kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib atas sumbangan ikhlas beliau yang sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada anak-anak ini untuk bersama-sama menikmati syawal yang akan tiba tidak lama lagi,” tambahnya lagi.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Penolong Pesuruhjaya Daerah Sembulan (Komunikasi Radio Amatur), Roslan Abdul Rahman bersama dua pemimpin krew dan 10 ahli lain.

Program ini merupakan siri ke-10 yang diadakan yang mana lima siri sebelum ini merupakan program ‘Singgah Sahur’ dan bertukar kepada ‘Qaseh Ramadan’ selepas Covid-19 yang bertujuan mengumpulkan ahli kelana dan pemimpin untuk meraikan bulan Ramadan bersama-sama anak yatim tanpa mengira bangsa dan agama.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penduduk Pulau Omadal berterima kasih atas keprihatinan SESB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular