HomePolitikPRN17 Sabah: Perjuang 30 peratus calon, kerusi Wanita GRS - Azizah

PRN17 Sabah: Perjuang 30 peratus calon, kerusi Wanita GRS – Azizah

Read Time:2 Minute, 48 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu calon dan kerusi wanita yang sedia ada dikekalkan dan juga ditambah lagi sekurang-kurangnya 30 peratus untuk kerusi Wanita pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.

Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Azizah Mohd Dun berkata, beliau gembira wanita-wanita GRS semuanya bersemangat tinggi untuk menghadapi PRN ke-17 akan datang.

“Sebagai sebuah parti lokal Gabungan Rakyat Sabah, calon-calon Wanita sudah semestinya pimpinan yang akan menentukan tapi kami mahu calon dan kerusi wanita yang ada ini dikekalkan dan juga ditambah lagi kerusi yang ada untuk Wanita.

“Sekurang-kurangnya kita masih memperjuangkan 30 peratus kerusi untuk Wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS dan Majlis Berbuka Puasa bersama Ketua-ketua Wanita Komponen GRS dan Pengerusi zon-zon di Kota Kinabalu semalam.

Jelas beliau lagi, tidak dinafikan Wanita GRS rajin dan kuat bekerja jadi tidak rugi jika Wanita dicalonkan pada PRN akan datang.

“Selain itu kita serah kepada pucuk pimpinan tapi saya ingin mengingatkanlah kepada semua Wanita, jika kita bercita-cita untuk menjadi calon, terus menjadi calon, kita kena kerja kuat untuk memastikan kita dapat memenangi hati rakyat sebab di hujungnya nanti rakyat yang akan tentukan,” tegasnya.

Justeru, Azizah turut menyeru kepada semua khususnya jentera Wanita GRS supaya tidak selesa dengan pencapaian masa kini sebaliknya terus meningkatkan gerak kerja 
berkhidmat kepada rakyat.

“Jentera parti khususnya Wanita GRS tidak boleh leka, sebaliknya terus mengukuhkan perpaduan sebagai  satu pasukan dalam perjuangan parti.

“Kita kena terus bekerja kuat, perkukuhkan perpaduan, bersatu hati dalam komponen GRS dan elakkan perselisihan faham serta perpecahan dalam kalangan kita.

“Sebab itu, peranan dan tanggungjawab wanita GRS amat penting dan cukup besar sekarang. Jentera parti GRS amat memerlukan wanita untuk menyampaikan mesej dan perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi GRS, Datin Malianah Ugau (PBS), Datuk Flovia Ng (STAR), Noraiza Md Noor (SAPP), Puan Sri Diana Datuk Y Diego (USNO), Norazian Dumit (PHRS), Glenna Wong (LDP), Penolong Bendahari Wanita GRS, Datuk Surinam Sadikun, Ketua Penerangan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Vyonne Yong, Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Aziah Atoh, Setiausaha Kerja Fariza Jimmy serta Pengerusi-pengerusi Zon.

Azizah berkata dengan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh semua wanita komponen parti GRS insya Allah akan terus menjadi satu pasukan yang kuat.

“Jentera pilihan raya perlu mengetahui bahawa pengundi muda masa kini akan menjadi ‘game changer’ kepada parti politik. Kita perlu berusaha merancang sebaik mungkin cara dan kaedah untuk mendekati serta memastikan mereka selari dengan hala tuju GRS itu sendiri.

“Peranan wanita amat penting dan mereka boleh menentukan siapa kerajaan dan siapa wakil rakyat kerana pengundi wanita di Sabah tidak kurang daripada 50 peratus.

“Peranan dan tanggungjawab wanita GRS amat penting dan cukup besar. Jentera parti GRS amat memerlukan wanita untuk menyampaikan mesej dan perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini,” jelasnya.

Justeru, katanya, Wanita GRS adalah tonggak kepada kekuatan parti yang mendokong kerajaan pada hari ini, bersama rakan-rakan daripada parti lain.

“Oleh itu, pergerakan wanita parti komponen dalam GRS perlu terus meningkatkan persefahaman dan perpaduan yang sedia terjalin utuh, untuk menjadi satu pasukan yang kuat dalam perjuangan demi aspirasi rakyat negeri ini,” tambah beliau lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

FCDO  jamin teliti permintaan Sabah tarik semula larangan perjalanan ke Pantai...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular