HomeIsu tempatanTadarus, khatam Al-Quran akan terus disemarakkan

Tadarus, khatam Al-Quran akan terus disemarakkan

Read Time:1 Minute, 54 Second

Membakut: Program tadarus dan khatam Al-Quran akan terus dilaksanakan dan disemarakkan secara berkala dalam membudayakan kitab suci Al-Quran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata program tersebut akan diadakan setiap tiga bulan di lokasi berbeza secara bergilir.

“Kita cuba membudayakan Al-Quran, sebab itu program tadarus Al-Quran ini bukan sahaja kita laksanakan pada bulan Ramadan tetapi secara berkala tiga bulan sekali sempena Maal Hijrah, Maulidur Rasul dan perayaan-perayaan lain termasuk Hari Kebangsaan.

“Tujuannya untuk membudayakan usaha membaca Al-Quran dan mendidik anak-anak supaya rajin belajar. Inilah budaya yang perlu kita cambah, budaya yang perlu kita semai, kembang dan semarakkan dalam kalangan masyarakat di daerah dan seluruh negeri malah di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran daerah Membakut di sini.

Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah turut menyarankan umat Islam yang belum mampu membaca Al-Quran agar memanfaatkan kemudahan-kemudahan yang disediakan kerajaan.

“Kepada yang belum mampu membaca  Al-Quran, hari ini kita mempunyai banyak kemudahan Kelas KAFA kelas sekolah agama negeri semua memberikan pendedahan untuk mendekati bacaan Al Quran sambil berusaha memahaminya,” katanya.

Katanya, pihaknya akan mengadakan Majlis Tadarus Al Quran Isteri Ketua Menteri Sabah Bersama Muslimah DUN Membakut dalam masa terdekat.

Kira-kira 500 jemaah menyertai majlis yang di  Dewan Seri Wawasan Kg Pimping dan menerima sijil penghargaan.

Hadir menyerikan majlis tersebut ialah dua pendakwah yang didatangkan khas iaitu Derry Sulaiman dari Indonesia dan Pensyarah Universiti Al Azhar Mesir, Syeikh Ibrahim untuk berkongsi pandangan, pandangan serta ilmu kepada jemaah tadarus.

Turut disampaikan, sumbangan RM2,000 kepada lapan masjid dan 18 surau dalam kawasan DUN Membakut antaranya, Masjid An-Naba Kg Binsulok, Masjid As-Sa’adah Kg Pimping, Masjid Cahaya Hikmah Kg Brunei, Masjid Cahaya Iman Pekan Membakut, Masjid Nur Ikhwan Kg Bambangan, Masjid Nurul Karim Kg Mawao dan Masjid Nur Ehsan Kg Lumat.

Manakala antara surau yang terlibat ialah Surau At Taha Kg Binsulok, Surau Dakwahtul Islamiyyah Kg Pimping, Surau Kota Kg Laut Pimping, Surau Dakwahtul Ummah Kg Saga-Saga, Surau Kg Baitam, Surau Nur Kasih Kg Kitana, Surau Al Halim Munawarah Kg Sinoko dan Surau Nur Islam Kg Lumantak.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penduduk Pulau Omadal berterima kasih atas keprihatinan SESB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular