Kota Kinabalu : Seramai 20 orang pelajar asnaf dari Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah di sini menerima sumbangan pakaian raya daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.
Yang Dipertua PIBG SM Maktab Sabah, Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu adalah bertujuan bagi meringankan beban keluarga pelajar yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.
Katanya, sumbangan pakaian raya itu juga dapat memberikan keceriaan dan semangat kepada para pelajar yang terlibat.
“Kita memberi pelajar-pelajar ini peluang untuk mereka memilih sendiri pakaian yang mereka suka dan seterusnya merasai kemeriahan membeli-belah sebagai persiapan menyambut raya sama seperti rakan mereka yang lain rasai.
“Kita juga mahu mereka bergembira dan PIBG akan sentiasa prihatin untuk membantu mereka,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohammad Arif berkata, sokongan ibu bapa dan guru banyak membantu kejayaan penganjuran program kongsi rezeki ini.
Menurutnya, program atau aktiviti kebajikan seperti ini akan sentiasa diteruskan walaupun bukan pada hari perayaan. – SABAH MEDIA