HomeUtamaKerajaan Sabah senada dengan ESSCOM, mahu tahap kesejahteraan di Lahad Datu diperkukuh

Kerajaan Sabah senada dengan ESSCOM, mahu tahap kesejahteraan di Lahad Datu diperkukuh

Read Time:2 Minute, 5 Second

Lahad Datu: Kerajaan Negeri Sabah senada dengan hasrat dan komitmen Kerajaan Persekutuan melalui Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) untuk mengukuhkan kesejahteraan di daerah ini.

Pegawai Daerah Lahad Datu Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd. Dzul berkata, usaha itu termasuklah bagi memastikan tahap keselamatan di daerah ini sentiasa berada pada tahap yang optimum bagi menjamin kemasukan pelabur asing dan pelancong ke daerah ini.

“Perkara ini sangat dititikberatkan oleh Kerajaan Negeri dan menjadi antara agenda utama dibincangkan dalam draf Pelan Tempatan Lahad Datu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Libat Urus ESSCOM Bersama Komuniti Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) Daerah Lahad Datu di Dewan Tun Mustapha, di sini.

Katanya, Sesi Libat Urus itu diadakan bertujuan bagi melaksanakan kajian berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ESS Zone Sabah dan melibatkan kumpulan sasar.

Ia terdiri daripada pemimpin tempatan, komuniti setempat, komuniti perniagaan dan maritim, Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik/ penyelidik dan pasukan keselamatan di enam daerah terlibat PKP ESS Zone Sabah.

Daerah Lahad Datu merupakan yang terakhir setelah diadakan di lima daerah iaitu Semporna, Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Kunak.

Firuz berkata, melalui kajian ini, penerimaan masyarakat dan kumpulan sasar dalam sektor perdagangan, perniagaan, perikanan, pelancongan serta pendidikan terhadap langkah penjenamaan semula Perintah Berkurung kepada PKP ESS Zone Sabah dapat diteliti.

“Selain itu kita juga dapat menganalisis keberkesanan pelaksanaan arahan selain mengenal pasti ancaman sedia ada dan mengkaji hala tuju dari segi pengecilan kawasan PKP ESS Zone Sabah atau memansuhkan perintah itu secara menyeluruh atau hybrid. 

“Kajian ini turut meneliti mekanisme alternatif bagi menggantikan arahan berkenaan sekiranya diputuskan untuk dimansuhkan pelaksanaannya,” katanya.

Terdahulu, semasa menyampaikan ucapan aluan, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali mahu agar taklimat tentang PKP ESS Zone Sabah ini diberikan kepada semua pemimpin politik khususnya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana kajian ini perlu merentasi fahaman politik dan Kerajaan agar data kajian ini berintegriti.

Tambahnya, ini juga perlu supaya keputusan daripada kajian ini benar-benar memberi impak.

Pada majlis sama, turut diadakan Sesi Dialog Bersama Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos yang menekankan aspek pengangkatan semula imej ESS Zone sebagai Zon Sejahtera antaranya melalui cadangan penukaran peta ESS Zone dari warna merah kepada putih bagi melambangkan kawasan tersebut selamat dan sejahtera.

Selain itu, turut diadakan penyampaian sumbangan berupa bakul makanan kepada golongan asnaf sekitar daerah Lahad Datu disusuli majlis berbuka puasa bersama-sama warga Daerah Lahad Datu.

Hadir sama Timbalan Komander ESSCOM , Brigadier Jeneral Technologist (Ts.) Roslan Mat Saad dan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail. – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM

RELATED ARTICLES
Utama

Pesta Kaamatan boleh dikenali diperingkat Kebangsaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular