HomeUtamaKKM luluskan peruntukan bina bangunan baru Klinik Kesihatan Tangkarason

KKM luluskan peruntukan bina bangunan baru Klinik Kesihatan Tangkarason

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kota Kinabalu : Peruntukan berjumlah lebih RM1.04 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan bangunan baru Klinik Kesihatan (KK) Tangkarason yang musnah dalam kebakaran 14 Februari lalu telah diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Asits Sanna berkata, jumlah peruntukan itu termasuk kerja-kerja pembaikan kecil Dewan Kampung Tangkarason yang bernilai RM50,000.

Selain itu katanya, KKM juga telah meluluskan sebanyak RM362,600 bagi perolehan aset perubahan.

“JKNS telah memohon peruntukan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pembinaan bangunan baharu KK Tangkarason termasuk kuarters.

“Sehubungan dengan itu, KKM telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1,040,000 untuk kerja-kerja pembinaan bangunan baru KK Tangkarason termasuk kerja-kerja pembaikan kecil Dewan Kg. Tangkarason yang bernilai RM50,000.

“KKM juga telah meluluskan sebanyak RM362,600.00 untuk perolehan aset perubatan. Proses kerja pembinaan bangunan klinik, pembaikan Dewan Kg. Tangkarason dan perolehan aset perubatan sedang dalam pelaksanaan di bawah Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Beluran,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Klinik berkenaan sebelum ini musnah dalam satu kejadian kebakaran pada 14 Februari lalu yang telah memusnahkan kuarters.

Susulan daripada kejadian tersebut, perkhidmatan kesihatan KK Tangkarason telah ditempatkan sementara waktu di Dewan Kg. Tangkarason sejak 19 Februari 2024.

Dr Asits berkata, KKM turut meluluskan peruntukan bagi tujuan sewaan inap desa untuk kuarters sementara KK Tangkarason bagi penempatan kakitangan yang terjejas dengan kebakaran.

Katanya, KKM telah memberi pengesahan peruntukan berjumlah RM500,000 bagi kerja-kerja pembinaan kuarters berkembar yang akan dimulakan pada tahun 2025.

“Berkenaan isu kakitangan yang tidak mencukupi di KK Tangkarason, pegawai perubatan berpindah keluar ke JKN Johor pada Julai 2023. Walau bagaimana pun, lawatan berkala dilakukan oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Paitan sejak Ogos 2023.

“Penempatan pegawai perubatan tetap di KK Tangkarason sedang diusahakan dalam masa terdekat. Sementara itu, bagi jawatan Penolong Pegawai Perubatan (PPP), terdapat dua perjawatan PPP di KK Tangkarason.

“Namun begitu, salah seorang pegawai telah berpindah keluar untuk mengikuti latihan Diploma Lanjutan. Pegawai ini akan diganti dengan pegawai yang baharu pada pertengahan bulan April ini,” katanya.

Beliau menambah, JKN Sabah akan terus memantau perkhidmatan kesihatan untuk komuniti serta kebajikan kakitangan KK Tangkarason.

“Pelaksanaan projek pembinaan klinik baharu ini serta perolehan aset perubatan akan dipantau agar ianya siap dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Umat Islam dinasihatkan tunai zakat tanpa kerisauan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular