HomeUtamaAnggota Maritim Malaysia cedera ditembak disahkan buta mata kiri

Anggota Maritim Malaysia cedera ditembak disahkan buta mata kiri

Read Time:1 Minute, 36 Second

Tawau : Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang cedera dalam kejadian berbalas tembakan di Perairan Kunak semalam disahkan buta sebelah mata kiri akibat insiden itu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, perkara itu disahkan oleh pihak Hospital Tawau yang selesai menjalani pembedahan.

Katanya, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, kini berada dalam keadaan stabil.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Hospital Tawau kerana telah membuat pembedahan semalam dan berjaya mengeluarkan bahan ataupun peluru daripada mata kiri anggota Maritim Malaysia terlibat dan beliau dalam keadaan stabil.

“Tadi saya tengok Alhamdulillah kerana stabil namun disebabkan kejadian itu saya hendak maklumkan, beliau telah disahkan oleh pihak doktor yang mana dia akan buta sebelah mata sebab tidak dapat selamatkan kerana peluru terkena saraf.

“Dia hilang sebelah mata kekal tanpa penglihatan, tetapi Alhamdulillah sebelah kanan elok. Jadi ini menjadi satu insiden amat sensitif pada kita,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hamid berkata, seorang lagi anggota berusia 35 tahun yang cedera di kedua belah tangan juga dalam keadaan stabil.

Katanya, suspek berkenaan sebelum ini telah dikenal pasti berada di kawasan di Suba Duyung dan Batik Parang untuk aktiviti jenayah rentas sempadan dan dipercayai melakukan jenayah menyeludup barang dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah mengenal pasti suspek.

“Saya ucap terima kasih kepada sahabat pihak Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan juga PDRM. Kita akan bergabung tenaga melalui penggunaan semua aset yang terlibat.

“Aset yang terlibat dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) membabitkan dua kapal dan 21 bot,” katanya.

Dalam pada itu, Hamid berkata, PDRM dari semua bahagian juga turut mengatur gerak lima kapal ronda dan 26 bot ronda serta tempur manakala Maritim Malaysia sendiri membabitkan empat kapal maritim dan 15 bot ronda dan tempur.

“Jadi fokus kita sekarang ini adalah melibatkan sektor Lahad Datu sehingga Semporna, Kunak dan Tawau di bawah naungan ESSCOM,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular