HomeUtamaJPJ laksana operasi khas sempena Aidilfitri

JPJ laksana operasi khas sempena Aidilfitri

Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah akan melaksanakan operasi khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri selama 20 hari bermula 1 April lalu.

Pengarah JPJ Negeri Sabah, Mohd Harris Ali berkata, operasi itu adalah bertujuan bagi menjaga keselamatan pengguna pengangkutan awam .

Pengarah JPJ Negeri Sabah, Mohd Harris Ali

Katanya, operasi itu juga adalah bagi memastikan pengusaha bas mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan. 

“Setiap hari kita akan melaksanakan penguatkuasaan dan kalau di terminal, salah satu fokus JPJ adalah memeriksa keadaan bas terutamanya di tiga terminal utama negeri. 

“Pemeriksaan ini akan dibuat sebelum bas keluar dari  terminal dan dilakukan secara keseluruhan antaranya cermin, brek, lampu, permit bas serta lesen memandu. 

“Pada masa yang sama kami juga bekerjasama dengan  Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)  untuk memastikan pemandu-pemandu bas bebas daripada pengaruh dadah agar tidak memberi kesan terhadap pemanduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Pemeriksaan Bas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Terminal Bas Bandaraya (Utara) Inanam,di sini semalam.

Harris berkata, pemeriksaan buku log, dan keperluan menyediakan dua pemandu juga akan diperiksa dan jika syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi bas terbabit dilarang keluar daripada terminal.

Katanya, setakat ini tidak ada kompaun dikeluarkan di ketiga-tiga terminal utama kerana JPJ memberi masa kepada pengusaha bas untuk memperbetulkan keadaan seperti lampu tidak berfungsi dan tayar botak. 

“Kita berterima kasih kepada syarikat-syarikat bas yang mengambil serius pematuhan peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Saya memohon kepada semua pengusaha bas untuk selalu mengingatkan para pemandu agar mempunyai rehat yang cukup dan tidak dalam tekanan ketika memandu,” katanya.

Katanya, JPJ menyediakan 15 pegawai yang akan bertugas sebagai penyamar dan menaiki bas secara rawak mengikut jadual. 

“Mereka akan bertugas setiap hari sehingga 20 April dan akan memantau sekiranya pemandu bas tidak mengikuti peraturan seperti merokok, memandu memakai selipar atau telefon,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebarang aduan pelanggaran peraturan jalan raya bolehla disalurkan ke portal MyJPJ .

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular