Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang dari dua batu nautika dari daratan pada pukul 4.15 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya berjaya mengesan sebuah bot nelayan yang sedang menjalankan aktiviti menarik pukat berhampiran kawasan daratan kira-kira 1.7 batu nautika barat daya Muara Sg.Merotai.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit telah mendapati tiga lelaki terdiri daripada dua pemegang passport warga Indonesia dan seorang warganegara berumur antara 42 hingga 63 tahun berada di atas bot tersebut.
“Mereka didapati melanggar syarat sah lesen dengan menarik pukat pada jarak 1.7 batu nautika dari daratan. Kesemua awak-awak, bot serta muatan hasil laut ditahan lalu diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau.
“Mereka juga akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana telah menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang dari dua batu nautika dari daratan. Kesemua barangan termasuk bot nelayan, pukat dan muatan hasil laut disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM117,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shahrizan dalam pada itu menjelaskan, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan ke atas kes-kes yang melibatkan nelayan tempatan yang melanggar syarat sah lesen dengan mengambil kesempatan menarik pukat berhampiran daratan.
Katanya, ini kerana ativiti menarik pukat pada jarak yang berhampiran pantai boleh merosakkan ekosistem laut dan mengganggu aktiviti perikanan nelayan-nelayan tradisional di kawasan pantai.
“Orang ramai turut diminta membantu pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA