HomeUtamaDUN Sabah : Beberapa langkah diambil pastikan kutipan hasil melibatkan perlombongan jadi...

DUN Sabah : Beberapa langkah diambil pastikan kutipan hasil melibatkan perlombongan jadi lebih telus, efektif

Read Time:2 Minute, 17 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan negeri mengambil beberapa langkah bagi memastikan kutipan hasil yang optimum khususnya melibatkan proses perlombongan dan peleburan emas akan menjadi lebih telus dan efektif.

Pembantu Menteri Kewangan Datuk Julita Mojungki berkata, Kerajaan negeri berkolaborasi bersama beberapa agensi dan jabatan bagi melaksanakan penambahbaikan yang akan dilaksanakan.

“Antaranya ialah yang pertama, Ketua Menteri telah melantik Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sebagai Ketua Merinyu Galian selaras dengan Seksyen 2, Ordinan Perlombongan Sabah 1960 bermula pada 1 Januari 2023 untuk mentadbir Sistem Pentadbiran Mineral di Sabah dan mengawal selia operasi  perlombongan.

“Kedua, Jawatankuasa Pemandu Bersepadu telah ditubuhkan bagi menjalankan aktiviti pemantauan operasi perlombongan emas.

“Jawatankuasa ini telah memperkenalkan Sistem Tiga Kunci bagi aktiviti pemantauan yang diadakan dua kali sebulan. Kuantiti jongkong emas yang terhasil semasa proses peleburan akan disahkan oleh Pejabat Hasil Bumi (SUHB) dan JTU manakala kualiti / jenis emas tersebut akan ditentukan mengikut laporan analisis kimia dikemukakan oleh operator sebelum dijual kepada pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Julita berkata, Kerajaan Negeri melalui JTU, Pejabat Hasil Bumi (SUHB) dengan kerjasama Sabah Mineral Mangement Sdn. Bhd. (SMM) akan mengukuhkan   penguatkuasaan undang-undang serta peraturan berkaitan aktiviti perlombongan mineral berdasarkan ordinan yang ditetapkan.

Katanya, antaranya ialah Ordinan Perlombongan Sabah 1960 dan Ordinan Tanah Bab 68 melalui pemerkasaan Rangka Kerja Pengawalseliaan sejajar dengan Seksyen 28, Ordinan Perlombongan 1960 untuk memperkenalkan peraturan-peraturan baharu bagi Operasi perlombongan yang lebih efisien dan mematuhi Konsep Environmental, Social & Governance (ESG).

“Kerajaan Negeri juga  akan mengkaji semula kontrak perjanjian dan ordinan/ akta/ enakmen berkaitan untuk meningkatkan kadar royalti emas daripada 5 peratus kepada 10 peratus ke atas emas mentah yang dihasilkan daripada aktiviti perlombongan tersebut.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan mempertimbangkan pengenaan Cukai Jualan Negeri ke atas emas yang dibawa keluar dari Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Julita berkata, peraturan perlombongan juga perlu diperketatkan di samping meningkatkan kesedaran mengenai pemeliharaan alam semula jadi, kewaspadaan risiko kecurian dan rampasan emas kepada pemain indusri emas tempatan, pihak swasta dan masyarakat setempat.

Katanya, ia adalah sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk menjaga kelestarian alam semula jadi.

“Intervensi sains dan teknologi juga amat ditekankan bagi memastikan  aktiviti  melombong  emas  dapat  dijalankan dengan lebih efisien, mampu meningkatkan kualiti dan kuantiti emas serta memberi kesan minimal kepada alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Julita berkata, industri emas ini masih lagi baharu dan Kerajaan Negeri sentiasa prihatin serta mengambil berat isu-isu yang timbul terutamanya yang berkaitan dengan penjanaan hasil kepada negeri.

Katanya, Kerajaan akan sentiasa menambahbaik proses perlombongan mineral yang bukan sahaja emas di samping memperketatkan peraturan sedia ada bagi memastikan Kerajaan Negeri dapat mengutip hasil yang maksimum.- SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berjaya bangunkan ekonomi Sabah – Arif Sakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular