HomeUtamaJoseph Kurup tidak pernah kenal erti penat bagi menyemai perpaduan dalam kalangan...

Joseph Kurup tidak pernah kenal erti penat bagi menyemai perpaduan dalam kalangan rakyat

Read Time:2 Minute, 13 Second

Kota Kinabalu : Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup menyifatkan mendiang bapanya Tan Sri Joseph Kurup sebagai seorang tokoh pemimpin yang tidak pernah mengenal erti penat dalam menyemai perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Arthur berkata, negara juga turut kehilangan seorang permata dalam sejarah yang sentiasa berpegang tekad ‘Di mana ada perpaduan, di situ ada kejayaan’ khususnya bagi memastikan perpaduan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama kekal selamanya.

“Sebagai anak jati Sabah, mendiang merupakan seorang pemimpin yang setia berkhidmat dan sanggup melakukan apa sahaja demi kebajikan dan kesejahteraan wilayah Sabah serta rakyatnya. 

“Jasa dan pengorbanan mendiang tiada galang gantinya terutama dalam membangun infrastruktur berteras keperluan rakyat di samping perjuangan mendiang untuk merubah pemikiran masyarakat pedalaman untuk mendakap pendidikan sebagai pemangkin transformasi bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan hadir pada Majlis Pengkebumian Mendiang Tan Sri Joseph Kurup di Empire Paradise Christian Memorial Park, off Jalan Penampang Lama di sini pagi tadi.

Arthur berkata, mendiang bapanya juga merupakan pemimpin yang setia kepada perjuangan dan sentiasa dikenali sebagai seorang yang meletakkan keutamaan dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat khususnya rakyat Sabah.  

Katanya, ketokohan dan nilai-nilai murni yang ditanam mendiang ketika menjadi Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menjadi asas kepada ‘Berjuang Untuk Kecemerlangan Rakyat’.

“Legasi dan perjuangan mendiang akan disemat dalam jiwa ahli parti dan menjadi teras panduan untuk saya terus mengemudi dan memimpin parti demi kelangsungan, kesejahteraan dan kecemerlangan rakyat Sabah.

“Bagi kami sekeluarga, kami kehilangan seorang ayah yang amat disayangi, tiang seri yang telah banyak berkorban demi kesejahteraan keluarga. 

“Mendiang abadi dalam kenangan kami sebagai seorang bapa yang mempunyai kepemimpinan yang tinggi, sentiasa bersemangat dalam melaksanakan apa-apa urusan, mempunyai daya ketahanan yang kuat apabila berhadapan tekanan, insan yang berfikiran jauh serta mempunyai jiwa dan rohani yang sejahtera,” katanya.

Sementara itu, Arthur berkata, mendiang bapanya akan kekal dalam ingatan sebagai seorang pemimpin yang mengutamakan nilai berprinsip dan berintegriti dalam segala usaha serta perjuangan. 

“Seorang ayah yang bertanggungjawab pada dirinya, keluarganya, komunitinya dan negaranya. Semoga ingatan ini akan turut menjadi kenangan kepada seluruh negara khususnya rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah mengirimkan utusan takziah, meluangkan masa menziarah dan memberi penghormatan terakhir sehingga ke upacara pengebumian.

Katanya, sokongan emosi serta kata-kata semangat yang dititipkan telah banyak membantu memberikan kekuatan kepada beliau sekeluarga untuk menempuh tempoh duka. 

“Saya turut merakamkan ucapan penghargaan kepada rakan-rakan media di atas liputan dalam mengenang mendiang serta liputan berita sepanjang upacara penghormatan terakhir sehingga ke pengebumian insan yang kami sayangi,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berjaya bangunkan ekonomi Sabah – Arif Sakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular