Kota Kinabalu : Seramai lebih 800 atlet terdiri daripada 20 buah kontinjen Universiti Awam (UA) di seluruh negara menyertai Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Fasa Satu 2024 yang berlangsung selama tujuh hari bermula semalam.
Kejohanan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai tuan rumah itu telah dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.
Mustapha ketika berucap berkata, penglibatan atlet yang menyertai kejohanan itu membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja komitd di bilik kuliah namun turut berpotensi besar dalam bidang sukan.
“Saya mewakili KPT amat menghargai komitmen dan kerja keras seluruh MASUM dan seluruh warga sukan universiti awam yang terus berusaha memperkasakan pembangunan sukan di IPT dan sebagai tulang belakang kepada pembangunan sukan negara.
“Dengan usaha bersama kita semua, ia menunjukkan dengan sangat jelas bahawa selain menumpukan kepada kecemerlangan akademik, sumbangan kepada masyarakat, hubungan yang erat dengan industri, sektor pendidikan tinggi negara turut memberi penekanan yang sangat besar kepada usaha menggilap potensi dan bakat dalam arena sukan.
“Baik di peringkat universiti, di peringkat kebangsaan mahupun di pentas dunia,” katanya.
Hadir sama Naib Canselor UMS Profesot Datuk Dr Kasim Md Mansur.
Sebanyak tujuh jenis sukan akan dipertandingkan antaranya Taekwondo; Ping Pong; Bola Tampar Pantai; Petanque; Silat; Catur dan Memanah.
Mustapha berkata, sektor pendidikan tinggi negara perlu terus menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan pembangunan sukan negara dengan lebih kualiti dan ada mutu nilainya di persada dunia.
“Sehubungan dengan itu, ianya berpandukan ekosistem pembangunan dan industri sukan secara menyeluruh. Bukan hanya sekadar mengesan, melatih dan menghantar atlet ke pertandingan.
“Sebaliknya, banyak lagi aspek dan dimensi pembangunan sukan yang boleh disertai serta dibangunkan oleh sektor pendidikan tinggi negara,” katanya.
Karnival Sukan MASUM bagi Fasa kedua akan berlangsung di Universiti Malaya (UM) pada 5 hingga 11 Mei depan. – SABAH MEDIA / FOTO UMS