HomeUtamaSydney dinobat pemenang peringkat serantau Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024

Sydney dinobat pemenang peringkat serantau Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024

Read Time:2 Minute, 50 Second

KUALA LUMPUR: Kumpulan Pendidikan Antarabangsa di Cambridge University Press & Assessment (Cambridge) hari ini mengumumkan Sydney Engelbert, guru Bahasa Inggeris di Kolej Vokasional Keningau, sebagai pemenang peringkat serantau Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024 di Malaysia.

Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge, yang kini memasuki tahun keenam, merupakan pertandingan global yang meraikan pencapaian para pendidik di seluruh dunia.

Pertandingan ini mengetengahkan peranan penting yang dimainkan oleh para guru dalam membentuk kehidupan pelajar dan mempersiapkan mereka untuk menghadapi dunia luar.

Pelajar, ibu bapa, dan guru-guru lain diberi peluang untuk mencalonkan guru sekolah rendah atau menengah yang telah menunjukkan komitmen luar biasa terhadap pendidikan pelajar mereka.

Menerusi kenyataan media oleh Cambrige hari ini, sebagai pemenang peringkat serantau, Sydney Engelbert akan menerima £500 dalam bentuk buku untuk kelasnya, serta sebuah piala.

Beliau juga akan mengambil bahagian dalam majlis anugerah serantau dan menerima liputan media untuk dirinya dan sekolahnya untuk sepanjang tahun.

Selain itu, beliau juga akan ditampilkan di halaman ‘terima kasih’ muka hadapan buku teks baharu Cambridge.

Sydney Engelbert dipilih sebagai pemenang peringkat serantau bagi kawasan Asia Tenggara & Asia Pasifik di atas komitmen beliau terhadap kolaborasi pertukaran budaya, yang telah membantu meningkatkan kemahiran komunikasi pelajar-pelajarnya.

Beliau mengajar di sebuah sekolah pedalaman di Keningau, Sabah, di mana pelajar-pelajarnya jarang meninggalkan kawasan tersebut.

Para juri memuji peranan Sydney dalam memperkayakan pendidikan pelajar-pelajarnya walaupun dalam situasi terpencil.

Pada tahun 2022, Sydney memulakan kelas pertukaran dalam talian dengan beberapa sekolah vokasional lain di Malaysia, Filipina, Kemboja, dan Indonesia.

Khalifa Affnan, yang juga dari Kolej Vokasional Keningau, telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Guru Dedikasi Cambridge pada tahun 2022.

Pada kenyataan sama, Sydney amat berbesar hati dengan penghargaan itu.

“Saya amat berbesar hati di atas penghargaan ini. Adalah penting bagi kita untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang berpaksikan pada pertukaran budaya untuk membantu pelajar-pelajar mengembangkan kemahiran praktikal dan komunikasi yang diperlukan untuk masa depan.

“Saya amat berbangga dengan kejayaan yang telah diraih oleh pelajar saya sebagai sebahagian daripada kelas pertukaran dalam talian kami yang tertumpu pada kecekapan budaya dan meneroka topik di luar kurikulum standard,” kata Sydney.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pendidikan Antarabangsa, Rod Smith berkata, tahun 2024 menyaksikan jumlah pencalonan yang mencatatkan rekod dari individu yang ingin mengucapkan terima kasih kepada seorang guru.

“Cambridge menerima 14,840 pencalonan dari 141 negara, melebihi rekod sebelumnya dengan peningkatan sebanyak lebih daripada 1,000 pencalonan.

“Kita memerlukan 44 juta guru di seluruh dunia menjelang tahun 2030 untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan UNESCO (SDG) 4 dalam pendidikan yang berkualiti, inklusif, dan saksama.

“Untuk mencapai matlamat ini, di Cambridge, kami turut mengiktiraf dan menghargai sumbangan penting guru-guru yang berusaha gigih dalam menanamkan minat terhadap pembelajaran, walaupun dalam keadaan yang mencabar.

“Kami melancarkan Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge untuk memastikan kami mengambil masa untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sedang mempersiapkan pelajar mereka agar bersedia menghadapi dunia, sama ada menangani isu-isu pendidikan mencabar seperti perubahan iklim atau meruntuhkan sempadan budaya.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Sydney Engelbert atas pencapaiannya yang luar biasa, yang saya yakin akan memberi inspirasi kepada guru dan pelajar di seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang awam kini boleh mengundi guru kegemaran mereka daripada sembilan pemenang serantau, untuk menjadi pemenang keseluruhan Anugerah Guru Dedikasi Cambridge 2024. Tarikh akhir mengundi ialah 6 Mei 2024 dan Pemenang Global akan diumumkan pada 29 Mei 2024.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Cambridge dan mengundi guru kegemaran anda dalam pertandingan itu, sila lawati dedicatedteacher.cambridge.org/vote

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah FC juara Piala SMJ 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya