HomeUtamaDUN Sabah : Sabah siap sedia untuk Hidrogen Hijau menerusi Tenaga Haba...

DUN Sabah : Sabah siap sedia untuk Hidrogen Hijau menerusi Tenaga Haba Lautan

Read Time:1 Minute, 35 Second

Kota Kinabalu:  Dewan Undangan Negeri Sabah telah  meluluskan  Enakmen Penukaran Tenaga Haba Lautan (Ocean Thermal Energy Conversion atau OTEC) 2024 yang baru dan Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan No. 2) 2024 di sini hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini akan memberi laluan bagi pembangunan OTEC sebagai sumber tenaga boleh baharu yang baru dan sebagai salah satu inisiatif utama di bawah Ekonomi Biru.

“Enakmen ini akan membolehkan Sabah melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (Energy Commission of Sabah – ECoS) mengawal aktiviti penerokaan, pembinaan, dan operasi fasiliti OTEC.

“Teknologi OTEC menggunakan perbezaan suhu antara air permukaan yang panas dan air laut dalam yang sejuk untuk menghasilkan tenaga elektrik secara mesra alam,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah mempunyai sumber laut yang luas dan ciri-ciri yang sesuai, menjadikannya wilayah utama untuk meneroka OTEC.

“Kajian menunjukkan bahawa kawasan tertentu di negeri Sabah berpotensi menghasilkan sehingga 20,000MW kuasa elektrik, yang boleh digunakan untuk menghasilkan hidrogen hijau, iaitu suatu sumber tenaga yang mendapat permintaan tinggi untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar.

“Industri ini akan mencipta pekerjaan dan menarik pelaburan asing ke Sabah,” katanya.

Selain itu, Hajiji berkata, produk sekunder seperti produk marikultur dan air minuman akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar tempatan.

“Sebagai perintis untuk pembangunan OTEC di rantau ASEAN, kita juga dapat menarik golongan profesional terlatih dan menggalakkan inovasi untuk memacu pembangunan di negeri Sabah,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Bin Abdul Wahid berkata, bahawa pembangunan teknologi baru ini selaras dengan pelan induk tenaga iaitu Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan pada bulan September 2023 lalu untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu dan mengenalpasti sumber tenaga dan teknologi baru bagi keperluan jangkamasa panjang.

“ECoS, sebagai badan kawal selia bagi sektor tenaga mengalu-alukan cadangan bagi menjalankan penerokaan dan kajian kebolehlaksanaan demi memperolehi pembangunan yang terbaik bagi negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JKM

RELATED ARTICLES
Utama

Laluan berhampiran Menara Kinabalu ditutup sebahagian 31 Disember ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular