HomeUtamaDUN Sabah : Aktiviti Pendataan Digital pendatang asing masih dilaksanakan

DUN Sabah : Aktiviti Pendataan Digital pendatang asing masih dilaksanakan

Read Time:1 Minute, 44 Second

Kota Kinabalu : Program Outreach Aktiviti Pendataan Digital pendatang asing di Sabah yang mula dilaksanakan sejak September 2022 masih lagi aktif dilaksanakan di lapangan sehingga kini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sebagai permulaan Program Outreach Aktiviti Pendataan Digital itu tertumpu kepada sektor perladangan dan pembinaan yang mempunyai bilangan warga asing tertinggi dan permintaan tenaga kerja aktif dalam kategori 3D (Dirty, Difficult and Dangerous).

“Sejak bermulanya program Outreach Aktiviti Pendataan Digital pada 12 September 2022 sehingga kini, sebanyak lima syarikat perladangan menyertai dan terlibat sepenuhnya.

“Syarikat terbabit ialah Kumpulan Sawit Kinabalu, Sabah Softwood Berhad, Benta Wawasan Sdn Bhd, FGV Plantations dan Cepat Wawasan Group Berhad.

“Warga asing didaftar dan didatakan secara digital melibatkan pengambilan maklumat peribadi, pengesanan wajah dan biometrik dengan menggunakan Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (SWIMS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (PH – Kadamaian) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Nizam berkata, pendataan golongan warga asing itu dibuat berdasarkan matriks pendataan berpandukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Setakat ini, katanya jumlah warga asing yang direkodkan dalam sistem SWIMS dan diperakukan oleh majikan adalah seramai 39,276 orang, merangkumi 21,994 orang pekerja dan 17,282 orang tanggungan.

Dalam pada itu, Nizam berkata, isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah sudah berlarutan sejak sekian lama, bukan baru bermula ketika pentadbiran kerajaan Parti Warisan (WARISAN) sebelum ini.

Beliau mengakui perkara itu sebagai penjelasan mengenai tuduhan yang mengaitkan WARISAN dengan masalah PATI di Sabah.

“Saya tidak pernah menuduh PATI datang ke Sabah sejak zaman WARISAN, tidak. Isu ini berlaku sejak lama dahulu lagi.

“Saya juga Suluk dan berasal dari sana (selatan Filipina) tapi saya juga anak jati Sabah dan cintakan negara ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) yang bertanya sejak bila PATI datang ke Sabah.

Presiden WARISAN itu turut meminta penjelasan sama ada masalah itu bermula ketika pentadbiran WARISAN seperti didakwa segelintir pihak.

Mohd Shafie juga mendakwa beliau turut difitnah sebagai PATI. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN

RELATED ARTICLES
Utama

Generasi muda perlu rebut peluang dalam industri pertanian – Amisah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya